Uncategorized

Siasat segera kebocoran 22.4 data rakyat Malaysia – Shamsul Iskandar

 

Wartawan Suara Merdeka

MELAKA 18 Mei – Sebanyak 22.4 juta data rakyat Malaysia kini sedang cuba dijual di sebuah forum atas
talian dengan harga lebih daripada RM40,000 demikian menurut laporan beberapa portal hari ini.

Laporan tersebut sekali gus melaporkan kebocoran data rakyat Malaysia buat kali kedua berlaku.

Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin berkata, beberapa portal seperti
Amanz.my, Lowyat.net serta Soyacincau.com melaporkan berlaku kebocoran kali kedua setelah kejadian kali
pertama kira-kira 4 juta data rakyat Malaysia juga cuba dijual dalam pasaran gelap pada September 2021.

“Saya sangat musykil sama ada kebocoran pada September 2021 telah diambil tindakan sewajarnya oleh pihak-
pihak serta agensi yang terlibat dalam memastikan keselamatan data-data ini.

“Kebocoran kali ini adalah lebih besar serta lebih berani.

“Salah sebuah daripada portal tersebut yang mendedahkan kebocoran ini turut memuatkan tangkap layar bahawa
penjual data turut mendedahkan maklumat Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

“Bagi saya, ini bukan sahaja cubaan mengaut keuntungan daripada data-data sulit yang dicuri bahkan
penggodam-penggodam ini juga seolah-oleh mencabar pihak berkuasa yang kelihatan lemah dalam mengatasi
masalah kebocoran dan kecurian data yang berulang ini,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Shamsul Iskandar berkata, beliau meminta Menteri Dalam Negeri agar segera menyiasat dan menyelesaikan
masalah yang melibatkan kebocoran data rakyat Malaysia ini.

Menurutnya, beliau juga mahu langkah-langkah penambahbaikan berikutan kebocoran data tersebut diumumkan secara terbuka.

(Visited 251 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button