Politik

Siaran percuma EPL: Janji sampah Pemuda PH dan kebenaran kata KJ

SEMALAM Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memberitahu Dewan Rakyat, ‘Siaran percuma EPL (Liga Perdana Inggeris) bukan keutamaan kami.’

Menurut Ahli Parlimen Muar itu, berdasarkan maklum balas daripada generasi muda, sebahagian besar mereka mahukan pembangunan bola sepak (NFDP) peringkat akar umbi ditingkatkan, berbanding desakan siaran percuma EPL.

“Siaran percuma EPL bukan keutamaan kami,” katanya menjawab soalan tambahan dikemukakan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (BN-Arau) yang mahu mendapat penjelasan mengenai janji Pakatan Harapan (PH) untuk menyiarkan siaran langsung EPL di saluran Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Adakah kenyataan Syed Saddiq yang juga Ketua Pemuda Pakatan Harapan itu merupakan titik noktah dan penamat terhadap tawaran yang dibuat sendiri oleh Pemuda Pakatan Harapan sebelum ini?

Mari kita kembali ke terowong masa. Tidak jauh cuma kira-kira 23 tiga bulan sahaja atau bersamaan satu tahun 11 bulan. Janji untuk menyiarkan EPL secara percuma diisytihar dalam Konvensyen Pemuda Harapan iaitu beberapa bulan sebelum berlangsungnya Pilihan Raya Umum ke-14.

Bekas Ketua Pemuda Pakatan Harapan (HARAPAN) Nik Nazmi Nik Ahmad pada 8 Januari 2018 berkata,  tawaran yang dibentangkan pada Konvensyen Pemuda Harapan untuk memberikan siaran EPL percuma adalah bagi menamatkan monopoli Astro terhadap hak siaran Liga Perdana Inggeris itu.

“Satu tawaran yang mencuri tumpuan adalah menamatkan monopoli hak siaran Liga Perdana Inggeris sehingga mendapat tentangan daripada Menteri Belia dan Sukan serta Ketua Pemuda Umno-BN Khairy Jamaluddin sendiri.

“(Ia) sebahagian daripada teras kelima Tawaran Harapan Anak Muda iaitu pembangunan sukan, rekreasi dan keseimbangan kehidupan-kerja,” kata Nik Nazmi.

Memetik laporan Malaysiakini, kenyataan Nik Nazmi  itu bagi menempelak bidasan Menteri Belia dan Sukan pada waktu itu Khairy Jamaluddin terhadap tawaran EPL percuma Pemuda Pakatan Harapan.

Bekas Ketua Pemuda Umno itu menyifatkan janji Pemuda Pakatan Harapan itu sebagai tidak masuk akal dan tidak bertanggungjawab.

Khairy berkata, lebih baik duit yang hendak digunakan untuk membuat siaran langsung perlawanan bola sepak itu digunakan membina kompleks sukan di seluruh negara bagi manfaat rakyat keseluruhan.

“Kami tidak menidakkan keperluan (itu). Apa yang perlu dijelaskan di sini adalah tawaran hak menyiar EPL tersebut adalah memberi peluang anak muda menikmati pengisian televisyen yang berkualiti,” kata Nik Nazmi.

Nik Nazmi berkata, rakyat biasa tidak dapat menikmati hak siaran eksklusif EPL milik Astro itu kerana ia melibatkan pembayaran yuran yang tinggi.

“Adakah hak ini hanya boleh diberikan kepada orang kaya dan mampu? Kita lihat sahaja setiap hujung minggu restoran mamak dipenuhi orang ramai semata-mata untuk menonton perlawanan EPL,” kata Nik Nazmi.

Bukan sahaja Niz Nazmi, Syed Saddiq pada waktu itu juga menyokong siaran EPL percuma.

Malah terdapat screenshot Twitter Syed Saddiq yang turut mahukan siaran EPL percuma.”EPL percuma bukanlah impian. Ia boleh menjadi reality harapan baru untuk anak muda,” kata Syed Saddiq.

Nampaknya Syed Saddiq mungkin lupa tawaran EPL percuma dibuat oleh Pemuda Pakatan Harapan dan disokong sendiri oleh beliau untuk memenangi hati anak muda bagi menarik sokongan mereka kepada PH.

Pada waktu itu Khairy sudahpun beri amaran bahawa janji dan tawaran itu tidak masuk akal dan wang untuk pembelian siaran EPL itu sewajarnya digunakan untuk pembangunan sukan.

Mungkin selepas jadi kerajaan barulah Syed Saddiq dan kawan-kawan lain tahu realiti sebenar dan mungkin juga terpaksa menelan kepahitan kebenaran apa yang dikatakan oleh Khairy dahulu.

Mengakhiri artikel ini, nasihat untuk Syed Saddiq mungkin beliau boleh membetulkan twit yang dilakukan pada masa lalu kepada, ”EPL percuma kini hanya impian. Ia tidak boleh menjadi realiti harapan baru untuk anak muda.”

Bagi Nik Nazmi, mungkin beliau boleh berjumpa dengan Khairy dan memohon maaf kerana tidak percaya dengan apa yang dikatakan Khairy pada waktu menjadi Menteri Belia dan Sukan ketika itu.

Nampaknya ketika zaman PH memerintahpun,  hak menonton EPL masih menjadi milik orang kaya dan mampu sahaja. Janji tinggal janji. – SM

 

 

 

(Visited 278 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button