KesihatanNasionalPenyakit

DVS sahkan ternakan dalam negara bebas penyakit Nipah

Penternak babi dinasihatkan jangan tanam pokok buah-buahan dalam dan sekitar kawasan ladang

JABATAN Perkhidmatan Veterinar (DVS) mengesahkan ternakan dalam negara bebas daripada penyakit Nipah.

DVS dalam kenyataannya memaklumkan, status itu berdasarkan hasil kajian yang dibuat ke atas 399 sampel babi komersial sehingga Ogos lalu yang menunjukkan keputusan ujian negatif.

Penyakit yang disebabkan oleh jangkitan virus Nipah itu boleh tersebar melalui sentuhan langsung dengan haiwan terjangkit, katanya.

Katanya lagi, ia boleh juga tersebar melalui udara yang dicemari dengan titisan pernafasan, rembesan dari hidung dan mulut atau tisu dari haiwan yang dijangkiti.

Menurut DVS, penyakit Nipah pertama kali dikesan di Malaysia pada 1998 melibatkan ladang babi di Perak dan merebak ke Negeri Sembilan.

Jelas DVS, kejadian itu menyebabkan kerugian besar bukan sahaja kepada penternak babi dan ekonomi negara malah turut meragut 105 nyawa manusia.

“Usaha pembasmian secara besar-besaran melibatkan pelbagai jabatan dan agensi telah dijalankan ketika itu.

“Dan pada awal 2001, Malaysia diisytihar bebas daripada penyakit Nipah oleh Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (WOAH),” ujar DVS dalam kenyataan yang sama.

Sehingga kini, kata DVS, Malaysia masih mengekalkan status bebas Nipah melalui Program Survelan Berkala dan penyakit Nipah disenaraikan dalam Penyakit Wajib Lapor yang diwartakan di bawah Perkara 31(1) Akta Binatang 1953.

Menurut DVS lagi, survelan atau kajian dan pemantauan akan terus dijalankan untuk memastikan industri ternakan babi di Malaysia bebas daripada sebarang ancaman penyakit.

Tambah DVS, pihaknya juga sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga agar penyakit yang bersifat zoonotik iaitu penyakit bawaan haiwan yang boleh menjangkiti manusia itu dapat dicegah daripada memasuki negara.

“Penternak babi dinasihatkan untuk tidak menanam pokok buah-buahan di dalam dan sekitar kawasan ladang yang boleh menarik haiwan terutamanya keluang iaitu spesies keluarga kelawar yang boleh menjadi perumah semulajadi virus Nipah,” katanya. – SM

BACA Malaysia lebih proaktif bendung jangkitan Koronavirus berbanding SARS 2002

BACA Covid-19: Perubahan iklim boleh wujudkan banyak virus bahaya

(Visited 24 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button