Nasionalpilihan

KPM umum 10 inisiatif hargai sumbangan guru

Kementerian Pendidikan (KPM) mengumumkan 10 inisiatif yang menjadi fokus baharu kementerian untuk dinikmati sempena Sambutan Hari Guru 2023 hari ini.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, kesemua prakarsa itu diharap dapat membantu memperkasa kebajikan guru, mengurangkan kos sara hidup, merancakkan ekonomi negara dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Menurutnya, Program Cuti-Cuti Cikgu Mampu Milik adalah salah satu daripada 10 inisiatif yang akan dilaksanakan dengan kerjasama rakan strategik dalam usaha memberi peluang kepada guru-guru merehatkan minda mereka.

“Guru-guru boleh menikmati potongan harga tiket penerbangan, penginapan, pengangkutan darat serta taman tema dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, (Tourism Malaysia), Kementerian Pengangkutan Malaysia, Airasia, Traveloka dan Bank Rakyat.

“Ini adalah untuk menghargai sumbangan guru menerusi peluang pakej percutian menarik, selain membantu mempromosikan destinasi pelancongan domestik dan merancakkan semula ekonomi negara,” katanya.

Beliau berucap pada Majlis Pelancaran Sambutan Hari Guru 2023 Peringkat Kebangsaan Ke-52 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, di sini hari ini.

Majlis pelancaran telah disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Turut hadir Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, inisiatif lain adalah memansuhkan sebarang kutipan sumbangan daripada guru bagi tujuan majlis tersebut.

Jelasnya, mulai tahun ini sambutan Hari Guru akan disambut di peringkat kebangsaan dan sekolah sahaja sekaligus memansuhkan sebarang kutipan sumbangan daripada guru bagi tujuan majlis tersebut.

“KPM juga bersetuju memberi kebenaran dan kelonggaran kepada guru di semua institusi pendidikan memakai baju korporat rasmi KPM bagi memberi keselesaan semasa bertugas,” katanya.

Fadhlina berkata, tujuh prakarsa lain adalah penambaikan surat Pekeliling Ikhtisas Bil 5/2002 Lawatan Sekolah Pada Hari Persekolahan, peluasan sekolah Komprehensif K9 dengan pertambahan sepuluh buah sekolah lagi dalam usaha mengatasi isu keciciran murid khususnya di kawasan pedalaman dan orang asli.

Ia termasuk Perluasan Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) ke negeri Sabah dan akan bersama-sama dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) untuk terus memperkasa pengurusan pengambilan pegawai perkhidmatan pendidikan. – SM

(Visited 231 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button