Rencah Hidup

Sholimin mengabadi diri 40 tahun di Bahagian Arkitek JKR Perlis

HARI ini 31 Oktober, tepat pukul 4.45 petang, “thumb print” terakhir bagi seorang penjawat awam yang bertugas di bahagian Arkitek Jabatan Kerja Raya (JKR), Kangar, Perlis selama 40 tahun.

Uniknya dalam tempoh itu juga beliau kekal berkhidmat di bahagian dan jabatan sama di Perlis.

Sholimin melakukan “thumb print” terakhir setelah berkhidmat 40 tahun di Bahagian Arkitek, JKR Perlis.

Semestinya, Sholimin Osman, 59, terdetik di fikiran apabila kali pertama melapor diri di JKR ketika itu terletak di Bangunan Datuk Mahmud Mat, Kangar.

“17 Julai 1982 saya melapor diri dan ketika itu berusia lebih kurang 18 tahun,” katanya kepada Suara Merdeka.

Beliau yang memilih untuk berkhidmat sebagai kakitangan awam sejak remaja ini tidak menjangka jari jemarinya yang dilihat keras semasa ditemuduga untuk jawatan Pelukis Pelan telah melorongkan rezeki kepadanya.

“Saya asal orang susah, sebaik menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya menjadi pekerja kontrak yang terpaksa melakukan kerja berat sehingga jari menjadi keras,” katanya.

Katanya, kemungkinan kerja yang dimintanya itu berkaitan melukis maka sebab itu penemuduga mahu beliau melihat tangannya.

Sholimin menerima hadiah yang disampaikan oleh Ketua Bahagian Arkitek, Lydiana Dimyati.

Beliau juga tidak menjangka temuduga itu berjaya walau pada mulanya timbul sedikit masalah.

Ini memandangkan beliau telah mendapat tawaran bekerja lebih awal di mana sijil asal SPM belum lagi dikeluarkan.

Sekalipun Sholimin mempunyai asas lukisan yang baik semasa menuntut di sekolah lagi tetapi beliau sebenarnya langsung tiada pengalaman dalam bidang lukisan pelan.

Semangat beliau tinggi untuk belajar, Sholimin tidak malu bertanya dan cekal apabila ditegur oleh “senior” asalkan dapat belajar bidang yang sangat baharu baginya yang baharu tamat belajar.

Beliau mengakui tidak lemah semangat sebaliknya apabila menjadi kerja sebagai satu ibadah dan amanah maka ia berjalan dengan lancar dan mudah.

Sholimin (kiri sekali) bersama rakan sekerja sebelum bersara.

Sikapnya yang suka belajar di dalam kerja itu juga membuatkan dia mula merancang meningkatkan pendidikan akademik.

“Selepas itu saya menduduki Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), alhamdulillah mendapat lima prinsipal sekaligus diumum calon terbaik persendirian peringkat negeri pada tahun 1982,” kata ayah kepada tiga anak yang kini mempunyai dua cucu.

Semenjak itu, Sholimin semakin bersemangat untuk melengkapkan diri dengan ilmu sekalipun sedar dengan gaji yang tidak seberapa masa itu dia perlu berkorban untuk membayar yuran universiti serta kos berulang-alik ke kampus selain menanggung keluarga.

Beliau bersyukur akhirnya penat lelah berulang-alik menunggang motosikal dari Kangar ke Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang akhirnya telah dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Sains Kemasyarakatan pada tahun 1993.

Sekali lagi beliau menyambung pengajian sehingga dianugerahkan Sarjana Sains Pengurusan Projek pada tahun 1998 dari universiti yang sama.

“Saya buat ini semua untuk menjadi teladan kepada anak-anak bahawa lepasan SPM yang berkerja biasa sebenarnya masih berkemampuan untuk meningkatkan taraf akademik,” katanya.

Sebagai pekerja gigih maka tidak hairanlah sepanjang bertugas, 10 kali beliau menjadi penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC).

“Sepanjang bertugas, saya pernah bekerja di bawah 13 Pengarah JKR Perlis dan sembilan Ketua Bahagian Arkitek,” katanya yang dirai rakan sekerja pada hari terakhir berkhidmat hari ini.

Dengan jawatan terakhir sebagai Penolong Pegawai Seni Bina, Sholimin menerima tiga anugerah pingat sempena Ulangtahun Keputeraan Raja Perlis iaitu Pingat Jubli Emas, Pingat Jasa Baik dan Pingat Jasa Kebaktian.

Sepanjang bertugas juga beliau menyifatkan dirinya bertuah apabila diberi tanggungjawab terlibat dalam penyelenggaran di Istana Arau.

Sekalipun hari terakhir beliau melangkah kaki menaiki kereta untuk pulang tetapi pengalaman mengayuh basikal dari rumah ke pejabat hampir lima tahun di awal kerja dengan gaji RM395 adalah kenangan yang kekal terpahat di ingatan. – SM

(Visited 690 times, 2 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button