
Shell Tambah Pelaburan Lebih RM9 Bilion, PM Tegaskan Keyakinan Pelabur Terhadap Dasar MADANI
KUALA LUMPUR, 17 Jun 2025 — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima kunjungan hormat Ketua Pegawai Eksekutif Global Shell, Encik Wael Sawan dan delegasi selepas menyampaikan ucaptama di Sasana Symposium 2025.
Pertemuan itu memperkukuh hubungan jangka panjang antara Malaysia dan Shell, syarikat tenaga multinasional yang telah menjadi rakan pelaburan utama negara sejak sekian lama.
Dalam pertemuan tersebut, Perdana Menteri berkongsi pendekatan strategik Kerajaan MADANI dalam menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang stabil, mampan dan berdaya tahan — bukan hanya untuk manfaat semasa, tetapi juga demi menjamin masa depan generasi akan datang.
Encik Sawan menyatakan keyakinan Shell terhadap hala tuju ekonomi Malaysia dan dasar-dasar yang sedang digerakkan kerajaan. Beliau turut memaklumkan bahawa Shell akan menambah pelaburan melebihi RM9 bilion dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang, yang dijangka membuka ribuan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi untuk rakyat tempatan.
“Pelaburan ini adalah manifestasi keyakinan pelabur antarabangsa terhadap dasar ekonomi kita yang kukuh dan kepimpinan yang jelas,” kata Perdana Menteri.
Tambah beliau, keputusan Shell itu juga mencerminkan komitmen jangka panjang syarikat antarabangsa terhadap agenda pembangunan mampan Malaysia, sejajar dengan nilai-nilai Malaysia MADANI.