
Sharwita Serlah Keanggunan Malaysia di Cannes 2025
Penampilan kedua Sharwita di Festival Filem Cannes mengukir nama Malaysia di persada antarabangsa
Nama Malaysia terus menjadi sebutan di pentas antarabangsa dalam arena fesyen dan hiburan dengan kemunculan model terkenal tanahair, Sharwita yang sekali lagi terbang ke Perancis untuk menghadiri Festival Filem Cannes ke-78. Dikenali dengan kecantikan dan keanggunan yang memukau, Sharwita atau nama sebenarnya, Sharminidevi membuat penampilan sulungnya tahun lepas di Festival Filem Cannes ke-77 untuk tayangan perdana filem PIGEN MED NÅLEN (The Girl with the Needle).
Tahun ini, Sharwita kembali ke Cannes untuk menghadiri tayangan perdana EXIT 8 pada 18 Mei 2025 lalu. Jelitawan ini tampil anggun dalam busana hasil kolaborasi bersama The Atelier oleh Profesor Datuk Jimmy Choo dan diserikan dengan aksesori daripada Thamarai Jewels, sekali lagi menyerlahkan keanggunan dan rekaan Malaysia di karpet merah. Selain itu, Sharwita turut dijemput hadir ke pertunjukan fesyen Philip Plein di Cannes dan pelancaran butik baharu jenama itu di Monaco atas jemputan daripada Dato Sri Sunny iaitu pengurus jenama antarabangsa itu sendiri.
Perjalanan Sharwita tahun ini dipenuhi dengan detik-detik bermakna. Dia telah dilantik secara rasmi sebagai Duta Jenama Malaysia untuk Wealth Global Partner, sebuah organisasi yang memperjuangkan pembangunan lestari dan gaya hidup di tahap global. Sharwita hadir di acara networking di atas kapal layar mewah anjuran organisasi tersebut. Acara ini membuka peluang untuk dia mengenali dengan lebih dekat ramai tokoh dan figura kreatif antarabangsa. Sharwita juga menghadiri acara eksklusif Amber Lounge Formula 1 di Monaco atas jemputan Patrick Grove iaitu rakan kongsi utama Amber Lounge.
Sepanjang berada dia Cannes, Sharwita turut dipaparkan di platform rasmi Getty Images dan ditemu bual oleh media terkemuka dari Perancis, Hong Kong dan China. Dalam temu bual tersebut, dia banyak berkongsi tentang potensi pelancongan fesyen Malaysia yang semakin berkembang. Kemuncak untuk kembara antarabangsa Sharwita kali ini adalah ketika menjadi showstopper dalam pertunjukan fesyen mewah sempena Bright Oriental Global Gala & APECCCF Cannes Night di Hôtel Barrière Le Majestic Cannes pada 20 Mei 2025.
Sharwita berhasrat menjadi penghubung antara pelancongan fesyen Malaysia dan pentas fesyen antarabangsa. Beliau kini sedang merancang untuk melancarkan forum pelancongan fesyen yang akan menghimpunkan model, pereka fesyen, media dan figura-figura penting industri—sambil membimbing bakat muda tempatan.
“Bukan sekadar glamor, Cannes memberi saya pendedahan global dan tanggungjawab untuk membuka jalan buat generasi baru industri fesyen dan seni Malaysia. Menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, misi saya adalah untuk menjadikan negara kita bukan sahaja sebagai destinasi pelancongan, tetapi sebagai ibu kota fesyen yang semakin dikenali. Sekaranglah masa untuk kita membuktikan kemampuan kita,” kongsi Sharwita.
Kemunculan Sharwita yang konsisten di pentas antarabangsa mengukuhkan komitmennya dalam mengetengahkan keunikan, keaslian dan kreativiti Malaysia, sambil membuka ruang ke arah masa depan fesyen yang lebih gemilang.
Tentang Sharwita:
Sharminidevi, juga dikenali sebagai Sharwita, adalah model antarabangsa yang disegani yang berasal dari Malaysia. Kerjayanya yang sangat membanggakan telah menyaksikan dia menghiasi pentas peragaan pereka terkenal dan minggu fesyen berprestij di seluruh dunia. Selain kerjaya peragaannya, Sharwita berperanan sebagai Pengarah Urusan Le Fashion Secret, agensi miliknya yang mula beroperasi pada tahun 2010.
Tentang Festival Filem Cannes:
Festival Filem Cannes adalah salah satu acara paling berprestij dalam dunia perfileman. Ia berlangsung selama dua minggu pada bulan Mei setiap tahun, di bandar Cannes di Côte d’Azur. Dicetuskan pada tahun 1946 untuk meraikan bidang lakonan dan memberi pengiktirafan kepada filem terbaik tahun ini, ia telah menjadi pertemuan penting untuk pelakon, pengarah dan penerbit dari seluruh dunia. Ia terus memberi inspirasi dan mengasah bakat baharu, sambil meraikan filem-filem daripada mereka yang telah meninggalkan kesan mendalam dalam sejarah perfileman.