Nasional

Sektor swasta diharap labur projek baharu Chuping Agro-Valley – Raja Muda Perlis

RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berharap sektor swasta terus memainkan peranan utama menerusi kaedah pelaburan masing-masing untuk menjayakan projek baharu Chuping Agro-Valley (CAV) di Perlis.

Inisiatif CAV Perlis ini amat bertepatan dengan dasar sekuriti makanan negara dan juga memerlukan penggunaan teknologi pertanian terkini serta kaedah pertanian moden.

Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra dalam kenyataan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) sebelum berangkat pulang ke tanahair dari Jepun semalam.

Menteri Penasihat (Politik dan Ekonomi) di Kedutaan Besar Malaysia Tokyo, Salfarina Salim dan Setiausaha Ketiga (Konsular dan Protokol) Mohd Farriq Osman turut berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita untuk mempersembahkan ucapan selamat berangkat kepada Baginda dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda-anakanda baginda berdua, Sharifah Farah Adriana Jamalullail dan Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Dalam perkara berkaitan, Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo, Nor’Azam Mohd Idrus terdahulu daripada itu memaklumkan bahawa perkembangan terkini dalam perdagangan produk agromakanan di antara Malaysia dan Jepun pada tahun 2021 direkodkan berjumlah USD1.21 billion dengan imbangan dagangan memihak kepada Malaysia iaitu ‘surplus’ USD896.93 juta.

Peningkatan sebanyak 18.4 peratus ini menunjukkan trend pemulihan dagangan agromakanan yang turut disokong oleh keyakinan terhadap jenama Malaysia termasuk melalui program-program yang telah dilaksanakan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Malaysia (MAFI).

Jelas beliau, antara komoditi yang menjadi penyumbang utama kepada eksport agromakanan negara ke Jepun adalah sediaan makanan (USD44.11juta), sediaan koko (USD163.6 juta), minyak/lemak (USD514.8juta), keratan bunga (USD72.9 juta) dan perikanan (USD31.9 juta).

Selain HS Code tersebut katanyq, Jepun juga merupakan pengimport utama produk kayu kayan negara Malaysia berjumlah USD701 juta.

Tambah Nor’Azam lagi, perdagangan agromakanan Malaysia-Jepun juga adalah sangat baik dengan disokong oleh Malaysia Japan Economic Partnership Agreement (MJEPA) berkuatkuasa pada tahun 2005.

Secara purata, perdagangan agromakanan Malaysia-Jepun melebihi USD 1 billion sejak tahun 2008.

Walaupun prestasi dagangan Malaysia-Jepun agak mendatar (stagnant) berikutan persaingan dari negara-negara seperti Thailand, Vietnam, Indonesia, China dan Brazil tetapi potensi perdagangan dengan Jepun kekal tinggi dengan peningkatan permintaan serta menjadikan Jepun sebagai ‘global trading gateway’ selari dengan kapasiti Jepun sebagai tuan rumah acara bertaraf antarabangsa seperti World Expo Osaka 2025, Aichi-Nagoya Asian Games 2026 dan Jepun juga sedang melobi untuk menjadi penganjur Winter Olympics 2030’.

Sempena keberangkatan Baginda ke Jepun kali ini, MAIPs turut menyalurkan sumbangan wang zakat kepada Masjid Otsuka di Minami Otsuka Toshima-ku, Tokyo yang diterima oleh wakilnya daripada Japan Islamic Trust, Haroon Qureshi.

Tuanku Raja Muda dan Tuanku Raja Puan Muda turut berkenan menerima mengadap Pengurus Kanan Koshigaya Environmental Management Office dari Saitama, Yasuakai Kawai. – SM

(Visited 323 times, 2 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button