Nasional

Latheefa digeruni biarpun ‘singkat’ di SPRM

KOMENTAR

LATHEEFA KOYA yang meletak jawatan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia atau SPRM dikenali dengan pendekatannya yang tegas dan tidak bertolak ansur.

Namun pelantikannya yang berkuat kuasa 1 Jun 2019 mengetuai badan yang sentiasa menjadi tumpuan rakyat dan orang politik dalam menganalisis piawaian ketelusannya, awal-awal lagi mencetus kontroversi ekoran dikatakan tidak melalui parlimen selain disebabkan oleh latar belakang politiknya.

Namun pejabat Perdana Menteri memaklumkan pelantikan itu selaras dengan Subseksyen 5(1) Akta SPRM 2009 dengan diperkenankan Yang di-Pertuan Agong. Ia antara langkah pembaharuan penting ke arah proses reformasi institusi kerajaan.

Digelar wanita besi oleh sebahagian penyokongnya, Latheefa pada Disember tahun lalu menarik perhatian ramai apabila menegaskan SPRM akan membuka semula dan menyiasat lebih 10 kes lama membabitkan rasuah, termasuk yang berprofil tinggi.

Terdapat banyak siasatan, kata beliau, telah ditutup selepas ia dianggap sebagai ‘tiada kes’.

“Kenapa ia ditutup sedangkan orang terus memberitahu saya bahawa terdapat kes, jadi saya perlu menangani hal ini.

“Saya perlu meneliti semula fail berkenaan dan lihat sama ada ia ditutup dengan cara yang betul,” kata Latheefa.

Bagaimanapun, penentangnya mempersoalkan beliau apabila membuat kenyataan SPRM tidak melihat sebarang keperluan untuk pihaknya membuka semula kes rasuah banglo membabitkan bekas Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Kes rasuah membabitkan Menteri Kewangan itu, kata Latheefa, dianggap sudah selesai berikutan ia sudah diputuskan mahkamah sebelum itu.

Pada 3 September 2018, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang melepas dan membebaskan Guan Eng dan ahli perniagaan, Phang Li Koon daripada pertuduhan rasuah berhubung pembelian banglo di bawah nilai pasaran.

Ia berikutan permohonan peguam Ramkarpal Singh yang mewakili Guan Eng, dan Datuk V Sithambaram serta Hisyam Teh Poh Teik, yang mewakili Li Koon supaya anak guam mereka dibebaskan sepenuhnya daripada pertuduhan itu.

Banyak pihak membandingkan kes dihadapi Guan Eng dengan kes bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo.

Pada 2015, Mahkamah Tinggi Shah Alam mendapati Dr Mohamad Khir bersalah kerana mendapatkan untuk dirinya dan isterinya, Zahrah Kechik, 50, dua lot tanah dan sebuah banglo di seksyen 7, Shah Alam, daripada Ditamas Sdn Bhd melalui pengarahnya, Datuk Shamsuddin Hayroni.

Dr Mohamad Khir gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan pada 30 Mei, 2013.

Latheefa turut mencetuskan kontroversi apabila pada 8 Januari lalu mengadakan sidang media memperdengarkan sembilan klip rakaman audio membabitkan beberapa individu berprofil tinggi

Tindakannya mengundang kritikan termasuklah daripada Penasihat Media Perdana Menteri, Datuk A Kadir Jasin yang percaya SPRM boleh hilang kewibawaan selepas membuat pendedahan mengejut rakaman audio berkenaan.

A Kadir berkata, rakaman itu wajib disiasat dan diambil tindakan, jika tidak orang tidak akan mempercayainya, malah boleh dituduh membuat fitnah.

Kata pengkritik Latheefa yang lain, di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 dan Kanun Prosidur Jenayah, mereka perlu ada waran untuk tap perbualan telefon.

Peruntukan waran itu, kata pengkritik, tertakluk kepada kes-kes seperti keganasan atau terorisme, bukannya dalam siasatan kes jenayah kolar putih seperti 1MDB.

Dalam keterangan Latheefa di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam, beliau mempertahankan tindakannya memperdengarkan klip rakaman audio berkenaan sebagai peringatan kepada orang ramai.

Kata Latheefa, kandungan rakaman perbualan telefon itu adalah penting dan perlu didedahkan kepada masyarakat kerana membabitkan individu berkepentingan tinggi.

Biarpun meletak jawatan, Latheefa setidak-tidaknya telah mencatat sejarah dalam SPRM kerana beliau wanita pertama dilantik memegang jawatan Ketua Pesuruhjaya badan tersebut.

Dikenali sebagai Kak Lat, Latheefa lahir pada 4 Februari 1973 di Kerala, India tetapi berpindah ke Kuala Lumpur ketika berusia tiga bulan bersama keluarganya dan membesar di Petaling Jaya.

Latheefa menamatkan pelajaran dari University of London dengan Ijazah Undang-Undang pada tahun 1997.

Beliau memperoleh Sijil Amalan Perundangan Malaysia dua tahun kemudian membolehkan Latheefa berkhidmat sebagai seorang peguam di Malaysia.

Sejak Mei 2002, beliau telah mengamalkan undang-undang di Messrs Daim & Gamany, yang diasaskan oleh Tun Daim Zainuddin, bekas Menteri Kewangan Malaysia, sebagai peguam bela dan peguam cara.

Antara Jun 2008 dan Julai 2012, Latheefa adalah ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), tetapi berhenti dari jawatannya selepas khabar angin muncul mengenai pengusirannya dari majlis itu.
Latheefa kemudiannya mengasaskan Peguam untuk Liberty (LFL) bersama Anggota Parlimen Padang Serai (MP), N. Surendran, pada tahun 2011. Beliau berkhidmat sebagai penasihat LFL sehingga tahun 2018 sebelum berkhidmat sebagai pengarah eksekutif.

Latheefa pernah berkhidmat sebagai ketua biro maklumat untuk Sayap Belia PKR dan ketua biro hal ehwal undang-undang untuk PKR.

Beliau mendedahkan tujuan di sebalik langkah yang dirancang oleh PKR Rafizi Ramli untuk menghalang Mohamed Azmin Ali dari menjadi Menteri Besar Selangor.

Bagaimanapun, Langkah Kajang gagal mencapai motif sebenar.
Pada Jun 2018, Latheefa mengkritik kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana menggalakkan seorang remaja menderma kepada dana Tabung Harapan.

Sebulan kemudian, beliau mengkritik Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan bekas presiden PKR, Wan Azizah Wan Ismail, kerana didakwa menangguhkan pendakwaan terhadap seorang lelaki yang ingin berkahwin dengan gadis bawah umur.
Pada November 2018, Latheefa menggelar lawatan Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ke Julau menjelang pemilihan PKR Sarawak sebagai “tidak sesuai” kerana penggunaan jentera kerajaan dan pengumuman peruntukan dengan kehadiran salah seorang calon, Julau MP Larry Sng.

Dia kemudian menggesa PKR untuk menggantung pemilihan yang akan datang untuk Julau berikutan peningkatan besar-besaran keahlian bahagian dari 603 hingga lebih 13,000 sehari kemudian, mendakwa pemimpin parti itu “whitewashing” dan menghalalkan penipuan.

Pada 17 Disember 2018, Latheefa melancarkan serangan terhadap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pelantikan ketua-ketua perhubungan negeri PKR dengan mendakwa “kronisme dan nepotisme” selepas banyak pilihan-pilihan tersebut tidak menerima sokongan majoriti dari ketua-ketua bahagian negeri masing-masing.

Apa yang dilakukannya menerima teguran daripada ahli partinya sendiri, mengritik Latheefa kerana mengkritik presiden parti secara terbuka dan mengemukakan aduan disiplin terhadapnya kepada parti itu.

Selamat kembali Latheefa sebagai pengkritik tegar isu-isu masyarakat.

Suara Merdeka mendoakan beliau berjaya sebagai peguam hak asasi manusia yang berwibawa.

– SM

(Visited 386 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button