Sukan

100 media tempatan, antarabangsa sertai kejohanan golf Forest City

GELANG PATAH 21 Feb. – Forest City menganjurkan pertandingan golf media antarabangsa yang disertai oleh 100 rakan media tempatan dan antarabangsa.

Para pengamal media yang menyertai pertandingan tersebuat antaranya dari Malaysia, Singapura, China, Indonesia dan Korea Selatan.

Kejohanan golf ini turut disertai oleh anggota pengurusan, editor, jurukamera dan barisan wartawan dari pelbagai agensi media tempatan mahupun luar negara.

 

Kejohanan golf ini dianjurkan bersempena sambutan Tahun Baru Cina, selain meraikan sokongan yang telah diberikan oleh para pengamal media kepada syarikat tersebut serta mempererat hubungan dua hala di antara mereka.

Pertandingan yang pertama kalinya diadakan pada 2019 terhenti selama beberapa tahun akibat pandemik.

“Kejohanan golf ini pada awalnya dirancang sebagai acara tahunan Forest City memandangkan kami memiliki lapangan golf bertaraf antarabangsa.

Namun ia terhenti apabila pandemik berlaku. Pihak pengurusan syarikat berbesar hati menerima kunjungan para pengamal media yang sudi meluangkan masa untuk menyertai kejohanan anjuran Forest City,” kata Ir. Hj. Syarul Izam, Timbalan Presiden Forest City.

Kejohanan golf anjuran Forest City tersebut diadakan di lapangan Legacy di Forest City Golf Resort. Lapangan golf 18 lubang tersebut direka oleh Jack Nicklaus, seorang lagenda golf antarabangsa dan anaknya, Jack Nicklaus II.

Program bersama media itu dijalankan selama 2 hari 1 malam. Para pengamal media diraikan dengan majlis makan malam bersama pihak pengurusan Country Garden Malaysia-Singapura disusuli oleh kejohanan golf.

Jamuan makan tengah hari mengiringi acara penyampaian hadiah. Majlis tersebut turut dimeriahkan dengan sesi cabutan bertuah.

Kategori pukulan terjauh dimenangi Mahathir Mohd Sidi dari Media Prima. Sementara itu Ismadi A. Manap dari RTM mengungguli pukulan terdekat ke garisan. Wakil dari China, Chen Hao memenangi pukulan terdekat dengan pin.

Juara bagi kategori ‘nett score’ dirangkul oleh Toha Dol, dari Golf Malaysia dan Mahathir Mohd Sidi sekali lagi menjuarai acara ‘gross score’.

MENGENAI FOREST CITY

Projek Forest City dimulakan sejak tahun 2015 dan sepanjang 7 tahun ini, sebanyak 26,000 unit kediaman telah disiapkan dengan fokus utama pemaju tertumpu pada pulau buatan pertama seluas 1,400 ekar.

Pembangunan di pulau buatan pertama itu sedang giat dijalankan dengan separuh daripada 1,400 ekar iaitu kawasan seluas 700 ekar, yang juga bersamaan 15% luas keseluruhan projek Forest City telah dibangunkan.

Sehingga kini, Forest City telah memiliki 2 buah hotel, 2 padang golf bertaraf antarabangsa, kilang prefabrikasi Sistem Bangunan Berindustri (IBS) terbesar di Malaysia dan diiktiraf oleh Malaysia Book of Records, sekolah antarabangsa dengan kurikulum Amerika Syarikat serta taman air yang menjadi pilihan rakyat tempatan.

(Visited 30 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button