Berita

Sewa Tak Dibayar, Fasiliti Terabai, RM70 JutaPenyewa Tidak Bayar Rumah PPR

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kini berdepan tunggakan sewa mencecah RM70 juta susulan kegagalan ribuan penyewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) melunaskan bayaran bulanan, sekali gus menjejaskan usaha penyelenggaraan dan pengurusan kemudahan untuk komuniti setempat.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif berkata, kutipan sewa yang rendah menyukarkan DBKL menyalurkan semula perkhidmatan berkualiti kepada penduduk termasuk kerja-kerja baik pulih bangunan dan fasiliti awam.

“Langkah ini penting supaya hasil kutipan dapat dikembalikan dalam bentuk penyelenggaraan dan kemudahan yang lebih baik kepada penduduk,” katanya ketika berucap dalam Program Kesejahteraan Komuniti Bandar Selamat ‘PPR Bestari’ di Desa Rejang.

Antara langkah yang diambil DBKL untuk menangani tunggakan termasuk mengeluarkan notis, menyekat bekalan air, menganjurkan program advokasi kewangan serta menawarkan pelan rundingan bayaran kepada penyewa.

DBKL turut menubuhkan satu pasukan khas dikenali sebagai Task Force Culas Sewa (TFCS) bagi memberi tumpuan khusus kepada penyelesaian isu ini.

Namun begitu, tindakan yang diambil bukan bersifat menghukum secara serta-merta.

“Kita tidak terus ambil tindakan keras. Kita mulakan dengan notis, kemudian beri advokasi, dan hanya selepas itu barulah kita sekat bekalan air. Pendekatan ini bagi memastikan kutipan sewa dapat dikembalikan untuk manfaat penduduk,” jelasnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa DBKL sedang meneliti semula keputusan yang dibuat pada 2015 untuk membekukan penjualan unit PPR dan PA. Jika ada penyewa yang benar-benar mampu, mereka mungkin diberi peluang untuk membeli unit yang didiami.

“Jika penyewa ada kemampuan, kita boleh pertimbangkan penjualan. Saya sedang teliti semula keputusan terdahulu memandangkan ramai yang menyatakan minat untuk membeli,” katanya.

Dalam sesi dialog bersama penduduk, turut dibangkitkan beberapa isu lain seperti masalah kebersihan, kekurangan tempat letak kereta, penyalahgunaan dadah serta kehadiran peniaga tanpa lesen di kawasan perumahan.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button