Mahkamah

Setiausaha Agung UMNO bayar kompaun RM1.1j kerana proses mahkamah ‘lambat betul’

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Ahmad Maslan hari ini menjelaskan sendiri alasan dia membayar kompaun RM1.1 juta yang dikenakan ke atasnya dan bukan semasa ia ditawarkan lebih awal oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Bercakap di Dewan Rakyat hari ini Ahmad berkata dia memilih untuk melawan kes berkenaan di mahkamah kerana mendapati jumlah kompaun yang ditawarkan itu berlipat kali ganda lebih besar.

Katanya ada antara kes yang dikendalikan SPRM ditawarkan kompaun sehingga 50 kali ganda. Misalnya kata ahli parlimen Pontian itu, jumlah yang diterima ialah RM100,000 dan kompaun yang ditawarkan 25 kali ganda.

“Maka saya lawan (kes di mahkamah), tetapi saya melihat lambat betul prosesnya,” kata Ahmad.

Semalam Ahmad dilepas dan dibebaskan daripada dua pertuduhan selepas bersetuju membayar kompaun berjumlah RM1.1 juta.

Peguam Ahmad menjelaskan keputusan berkenaan diambil selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan ia tidak memberi kesan kepada kedudukan sebagai ahli parlimen.

Selain itu, SPR juga turut mengesahkan bahawa Ahmad tidak hilang kelayakan untuk bertanding dalam pilihan raya akan datang.

Kata peguam terbabit Ahmad mampu membayar kompaun berkenaan hasil wang yang dipinjamkan oleh rakan-rakannya. Ahmad juga didakwa menjadi mangsa kepada kegiatan pendanaan politik yang tidak diselia oleh undang-undang.

SPRM pula kemudian menjelaskan kompaun yang dikenakan ke atas Ahmad bersifat punitif (menghukum) dan ia pernah ditawarkan kepada ahli politik terbabit pada Okt 2019 namun ditolak.

Kata SPRM, pun begitu Ahmad ketika itu memilih untuk dibicarakan.

Menurut Ahmad dia juga bersetuju membayar kompaun tersebut selepas membuat semakan dengan bekas presiden Umno Najib Razak yang memberikan wang berkenaan kepadanya.

Ahmad yang dicalonkan oleh Umno untuk menjadi timbalan speaker Dewan Rakyat menambah, sebenarnya wang yang diterima daripada Najib memang berjumlah RM1.1 juta.

“Saya tak mengaku saya terima RM2 juta (daripada Najib),” katanya lagi.

Untuk pengesahan kata Ahmad dia meminta SPRM mengesahkan hal berkenaan kepada Najib dan ahli parlimen Pekan itu mengesahkannya.

Justeru katanya nilai wang yang diterima daripada Najib itulah yang dibayarnya untuk kompaun tersebut.

“Itu keputusan mahkamah yang patut kita hormati,” katanya.

(Visited 154 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button