BanjirNasional

Banjir kilat: 4 PPS dibuka di Melaka, Selangor dan NS

HUJAN lebat pada petang semalam menyebabkan beberapa lokasi di Melaka, Selangor dan Negeri Sembilan dilanda banjir dengan empat pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka.

Di Melaka, sebuah PPS, dibuka bagi menempatkan 51 mangsa setakat 8 pagi tadi selepas banjir kilat melanda Alor Gajah, lapor Bernama.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Melaka, Kamarulsyah Muslim berkata mangsa terlibat terdiri daripada 13 keluarga dari sembilan kampung di daerah itu, ditempatkan di Balai Raya Balik Balai yang dibuka pada 9 malam tadi.

Beliau berkata kampung terlibat ialah Kampung Bukit Tambun, Kampung Bukit Balai, Kampung Padang Keladi, Kampung Taboh Naning, Pelan Lubok China, Kampung Sungai Jernih, Taman Masjid Tanah Ria, SJK Tamil Durian Tunggal dan Kampung Brisu.

Di Selangor, dua PPS dibuka susulan hujan lebat yang melanda beberapa kawasan di Sungai Buloh dan Subang, semalam.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba Selangor Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata PPS SK Merbau Sempak dan PPS Dewan Majlis Daerah Kuala Selangor Desa Coalfields menempatkan 374 mangsa daripada 88 keluarga.

Beliau berkata satu pos kawalan hadapan bomba turut dibuka di PPS SK Merbau Sempak.

“Balai Bomba Bukit Jelutong ditugaskan dalam operasi banjir membabitkan kawasan Jalan Jati di Kampung Melayu Subang, Balai Bomba Rawang serta Balai Bomba Sungai Buloh di Kampung Kubu Gajah manakala Balai Bomba Bestari Jaya di Kampung Sri Aman dan Taman Saujana Aman,” katanya dalam kenyataan.

Di Negeri Sembilan, satu PPS dibuka di Balai Raya Permatang Pasir, Port Dickson awal pagi tadi susulan kejadian banjir kilat.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sembilan dalam kenyataan memaklumkan PPS itu dibuka pada jam 4.08 pagi dengan menempatkan 46 orang daripada dua keluarga.

“Beberapa stesen sungai turut merekodkan bacaan pada paras berjaga-jaga dan bahaya setakat 7 pagi tadi iaitu di Sungai Linggi dan Sungai Triang di Jelebu,” menurut kenyataan itu. – SM

(Visited 17 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button