Nasional

Lebih 14 ribu mangsa banjir di Kelantan, Terengganu

MANGSA banjir di Kelantan dan Terengganu mencatat peningkatan dengan jumlah 14,986 orang melibatkan 4,862 keluarga setakat malam ini berbanding 14,193 orang melibatkan 4,584 keluarga petang tadi.

Di Kelantan jumlah mangsa meningkat kepada 10,078 orang membabitkan 3,437 keluarga sehingga 8 malam tadi berbanding 8,550 orang daripada 2,910 keluarga pukul 4 petang semalam

Menurut aplikasi InfoBencanaJKM, di Pasir Mas seramai 5,751 mangsa daripada 2,268 keluarga ditempatkan di 28 pusat pemindahan sementara (PPS) diikuti Kuala Krai dengan 1,128 mangsa daripada 280 keluarga di tempatkan di 16 PPS.

Di Pasir Puteh seramai 784 mangsa (206 keluarga) dipindahkan ke lapan PPS manakala di Kota Bharu, seramai 723 mangsa (201 keluarga) masih berada di lima PPS.

Sementara itu, di Tanah Merah seramai 639 mangsa (176 keluarga) ditempatkan di 13 PPS, di Bachok 190 mangsa (49 keluarga) masih berada di dua PPS dan 210 mangsa lagi (64 keluarga) berada di enam PPS di Machang.

Di Jeli, seramai 179 mangsa (45 keluarga) masih kekal berada di dua PPS, manakala 474 mangsa (148 keluarga) lagi ditempatkan di tiga di PPS Tumpat.

Sementara itu, laman sesawang ebanjir.kelantan.gov.my menunjukkan paras Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas meningkat kepada 10.61 meter pada pukul 8 malam ini berbanding 10.45 meter pada pukul 4 petang tadi, melepasi paras bahaya sembilan meter.

Sungai Golok di Jenob, Tanah Merah merekodkan bacaan 23.72 meter (bahaya 23.5 meter), Sungai Golok di Kuala Jambu, Tumpat pada paras 3.10 meter (bahaya 2.5 meter) dan Sungai Kelantan di Jambatan Guilemard, Tanah Merah mencecah 16.36 meter (bahaya 16 meter).

Selain itu, Sungai Kelantan di Kuala Krai melepasi paras amaran pada bacaan 24.39 meter (amaran 22.5 meter) manakala Sungai Lebir di Tualang pada paras 32.44 meter (amaran 31 meter).

Dua sungai melepasi paras berjaga-jaga pula ialah Sungai Galas di Dabong, Kuala Krai dengan bacaan 34.53 meter (berjaga-jaga 32 meter) dan Sungai Kelantan di Tambatan Diraja, Kota Bharu pada paras 3.83 (berjaga-jaga 3.0 meter).

Di TERENGGANU jumlah mangsa setakat malam ini turun kepada 4,908 orang melibatkan 1,425 keluarga berbanding 5,591 orang daripada 1,661 keluarga, petang tadi.

Mereka semua ditempatkan di 114 PPS di tujuh buah daerah.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Leftenan Kolonel Che Adam A Rahman berkata di Besut, yang merupakan daerah paling teruk terjejas merekodkan peningkatan iaitu 1,879 mangsa daripada 503 keluarga di 51 PPS berbanding 1,846 mangsa (485 keluarga) petang semalam.

“Setiu bagaimanapun merekodkan penurunan iaitu 1,435 mangsa (408 keluarga) di 26 PPS berbanding 1,784 orang (512 keluarga) di 30 PPS.

“Situasi banjir di Hulu Terengganu juga mencatat penurunan kepada 889 mangsa daripada 331 keluarga di 16 PPS berbanding petang tadi seramai 1,415 orang (518 keluarga),” katanya.

Di Dungun juga berlaku peningkatan iaitu seramai 403 mangsa daripada 108 keluarga ditempatkan di 10 PPS, manakala di Marang, empat PPS kekal beroperasi dengan 121 mangsa daripada 26 keluarga berbanding 106 orang (24 keluarga) petang tadi.

Manakala di Kuala Nerus, lima PPS beroperasi menampung seramai 157 mangsa daripada 43 keluarga berbanding 48 orang (12 keluarga) petang tadi. — BERNAMA

(Visited 72 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button