Nasional

Dakwaan Mara kurangkan pekerja tidak benar

DAKWAAN mengatakan Majlis Amanah Rakyat (Mara) melaksanakan pengurangan jumlah pekerja serta tuduhan pekerja anak syarikatnya tidak mendapat gaji untuk beberapa bulan adalah tidak tepat dan fitnah semata-mata.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata tindakan menyebar berita palsu itu amat mendukacitakan dan ia tidak menggambarkan keikhlasan untuk melindungi Mara, jauh sekali membantu untuk memperkasa serta melonjakkan kecemerlangan Mara sebagai sebuah institusi yang amat signifikan kepada negara.

“Mara termasuk subsidiari di bawahnya tetap beroperasi seperti sedia ada bagi melaksanakan dasar dan program yang telah digariskan mengikut teras dan setiap entiti yang wujud.

RINA MOHD HARUN
RINA MOHD HARUN

“Setiap cadangan dan inisiatif yang dirancang dan dilaksanakan adalah untuk memastikan agensi ini terus diperkasa dan berkembang maju sebagai salah satu agensi peneraju pembangunan sosioekonomi bumiputera,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau mengharapkan tidak ada mana-mana pihak yang menyebarkan maklumat tidak tepat dan tuduhan palsu mengenai majlis itu.

Rina berkata beliau sentiasa terbuka dan mengalu-alukan saranan serta pandangan daripada semua pihak yang ikhlas untuk melihat Mara berkembang maju supaya dapat merealisasikan matlamat penubuhan majlis itu.

“Saya telah mengarahkan Majlis Mara dan Pengurusan Mara untuk meningkatkan sesi libat urus bagi mendapatkan syor dan pandangan pelbagai pihak berkepentingan,” katanya.

Sementara itu, menteri itu berkata antara fokus pada tahun 2020 adalah untuk memperkasakan keupayaan institusi-institusi pendidikan Mara bagi melahirkan modal insan yang menepati keperluan tenaga kerja masa depan.

Tumpuan turut diberikan kepada bidang keusahawanan meliputi pembangunan usahawan luar bandar dan peningkatan kapasiti usahawan bumiputera sedia ada.

Jelasnya lagi, Mara turut merancang melaksanakan pelaburan melalui Kumpulan Wang Endowmen dan memantapkan tadbir urus bidang pelaburan meliputi aspek pemilihan jenis dan sektor, pemilihan pengurus dana, pemantauan dan pengukuran prestasi. – BERNAMA

(Visited 100 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button