Nasional

Sesiapa yang mentadbir negara, utamakan golongan KIR, B40

KETUA isi rumah (KIR) yang dikategorikan sebagai miskin tegar, menurut data e-Kasih sehingga 30 Jun 2022, telah meningkat kepada hampir 145,000 berbanding hanya 45,000 pada tahun 2020.

Lebih membimbangkan, sekitar 600,000 isi rumah M40 telah jatuh ke dalam kategori miskin yang telah menyumbang kepada peningkatan golongan B40 kepada B60 pasca pandemik Covid-19.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Kebangsaan: Pemulihan Negara dan Keterangkuman Sosil di Putrajaya, hari ini.

Muhyiddin berkata, peningkatan ketara ini mencerminkan realiti sebenar yang sedang dihadapi oleh rakyat secara keseluruhannya.

Beliau berkata, ramai yang masih terpaksa berdepan situasi sukar ekoran kenaikan harga barang, peningkatan kos sara hidup, kehilangan pekerjaan atau penyusutan dalam pendapatan.

Sehubungan itu, beliau berkata, Kerajaan mesti ada sense of urgency, mesti ambil satu langkah, walaupun situasi sekarang tidak menentu kerana pilihan raya akan diadakan namun sesiapa sahaja yang mentadbir negara, ini adalah keutamaan nombor satu.

“Sekiranya tiada langkah intervensi segera dan serius diambil oleh agensi dan pihak berkaitan, saya khuatir masalah ini akan menjadi semakin meruncing dan parah sehingga tidak dapat diselamatkan lagi.

“Yang miskin menjadi papa kedana, perniagaan terpaksa ditutup, produktiviti akan merosot dan akhirnya merencatkan proses pemulihan negara.

“Kita tidak boleh berlengah. Procrastination is the thief of time.  Justeru saya mencadangkan sebuah sistem bersepadu dibangunkan untuk memudah cara proses penyaluran bantuan secara menyeluruh dan berpusat,” jelas Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN).

Katanya lagi, hari ini, hampir semua agensi dan pihak kementerian masing-masing menyediakan bantuan.

“Namun kita dapati masih ada individu atau kelompok yang tertinggal atau tercicir. Pada masa sama, ada pula yang menerima bantuan daripada dua tiga agensi berlainan.

“Dengan mengintegrasikan data penerima yang layak dari semua agensi dalam satu sistem yang sama, proses penyaluran bantuan termasuk subsidi dapat diselaras dan diagihkan secara telus dan cekap dengan seberapa cepat yang mungkin kepada golongan sasar,” katanya sambil menambah, e-Kasih sistem yang terlalu lama dan perlu distruktur semula.

Beliau menyarankan, satu mekanisme perlu diwujudkan yang mana ia berfungsi sebagai jaringan keselamatan sosial yang dapat mengenal pasti bantuan jangka masa pendek, sederhana dan panjang kepada rakyat yang layak  memerlukan bantuan.

Ini boleh mengurangkan karenah birokrasi dalam aspek penyampaian bantuan, sekali gus mengoptimumkan penggunaan kewangan Negara, katanya.

“Sebagai contoh, Encik Abu mempunyai tiga orang anak serta isteri yang tidak bekerja. Jika beliau diberhentikan kerja, maka sistem ini secara automatik akan dapat mengesan status Encik Abu melalui notifikasi yang dicerap daripada data Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Status Encik Abu sebagai seorang yang hilang pekerjaan akan melayakkan beliau menerima bantuan jangka pendek selama beliau tidak bekerja, maksimum tiga bulan untuk menampung perbelanjaan keluarga sehingga mendapat pekerjaan baharu.

“Sistem bersepadu ini juga boleh berfungsi menyusun semula segala bentuk manfaat yang layak diterima oleh rakyat Malaysia sejak dari lahir sehingga akhir hayat menerusi data rentas agensi,” katanya.

Menyentuh tentang Seminar Kebangsaan: Pemulihan Negara dan Keterangkuman Sosial hari ini, Muhyiddin berkata, ia amat relevan ketika negara masih berdepan situasi ekonomi yang cukup mencabar seperti dihadapi oleh negara-negara lain di dunia.

Seminar bertujuan menyediakan platform kepada pemegang taruh dalam kalangan ahli akademik, pemain industri, pembuat dasar dan masyarakat sivil untuk mengumpulkan cadangan input berkaitan pemulihan ekonomi negara.

Ia turut mengupas isu-isu dan cabaran berkaitan aspek sosioekonomi untuk merangka strategi menyeluruh ke arah kesejahteraan sosial dan kemakmuran ekonomi;

Selain itu, seminar sehari ini turut memperkasa agenda kemampanan ekonomi Malaysia yang lebih inklusif dan lestari.

 “Seminar hari ini akan menyaksikan pembentangan selari oleh 12 penyelidik yang menjalankan kajian penyelidikan di bawah Program Pembangunan Dasar MASA (MPDP).

“Mereka adalah sebahagian daripada 30 penyelidik daripada Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta yang berjaya menerima geran MPDP untuk menjalankan kajian dalam pelbagai bidang berkaitan ekonomi dan sosial khususnya bagi membantu langkah-langkah pemulihan Negara,” katanya. – SM

 

(Visited 261 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button