Ekonomi

Seng Fong meterai taja jamin untuk 160.87 juta IPOnya

SENG FOONG Holding Bhd (Seng Fong), pengeluar getah diproses dan berdagang Getah Standard Malaysia (SMR) dan getah blok gred premium, memeterai taja jamin dengan Hong Leong Investment Bank Berhad (HLIB) untuk tawaran awam permulaannya (IPO) 160.87 juta saham.

Seng Fong yang dijadualkan disenarai di Papan Utama Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Securities) akan melibatkan IPO sehingga 160.87 juta saham biasa atau sehingga 31 peratus daripada jumlah saham terbitan Syarikat yang diperbesarkan yang terdiri daripada terbitan awam sebanyak 90.81 juta saham dan satu tawaran untuk jualan sehingga 70.06 juta saham.

Pengarah Urusan Seng Fong Er Hock Lai berkata, pihaknya mengalu-alukan kerjasama dengan HLIB dalam penerbitan IPO yang dilihat penting untuk pertumbuhan masa depan syarikat kerana dana yang diperoleh melalui penyenaraian akan digunakan untuk rancangan pengembangan perniagaan.

“Rancangan kami termasuk memasang dua unit sistem solar untuk menjana tenaga elektrik selaras dengan inisiatif ESG Syarikat untuk mengurangkan jejak karbon dan mempunyai operasi perniagaan yang lebih mampan yang akan menghasilkan penjimatan kira-kira RM2.6 juta setahun kepada kos jualan Kumpulan kami,” katanya di sini hari ini.

Di bawah perjanjian itu, HLIB akan menaja jamin 42.20 juta saham IPO yang disediakan untuk permohonan di bawah tawaran runcit. HLIB juga merupakan Ejen Penempatan bagi 118.68 juta saham IPO yang diperuntukkan kepada pelabur bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (“MITI”) serta pelabur institusi dan terpilih yang lain.

Mengulas lanjut Hock Lai berkata, pihaknya juga akan memasang sistem biojisim untuk mengurangkan penggunaan diesel yang digunakan untuk menjana bahan api bagi sistem pengering.

“Inisiatif ini juga akan membantu mencapai penjimatan sebanyak RM3.5 juta setahun dan meneruskan inisiatif ESG kami dengan menjadikan perniagaan lebih mampan dalam jangka panjang. Selain itu, kami juga merancang untuk meningkatkan jumlah keseluruhan kapasiti tahunan kilang-kilang kami kepada 166,000 MTS menjelang tahun 2023 daripada kapasiti keseluruhan sekarang sebanyak 142,000 MTS.” katanya lagi.

Pengarah Urusan Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif HLIB, Lee Jim Leng berkata, pihaknya berbesar hati untuk memainkan peranan penting dalam membantu Seng Fong melalui pelaksanaan IPO.

Seng Fong mempunyai reputasi yang kukuh dan sejarah sejak 1986. Getah merupakan bahan utama dalam banyak industri dan khususnya, industri automobil di mana terdapat permintaan yang stabil.

“Kami tidak ragu-ragu bahawa Seng Fong akan terus cemerlang dan membina asas yang ditetapkan hampir empat dekad lalu. Penyenaraian awam ini adalah platform yang berkesan untuk Syarikat meneruskan peringkat pertumbuhan seterusnya.” Katanya.

(Visited 161 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button