Ekonomi

Serta Fiesta Labur PNB@Home 29-31 OKTOBER

AMANAH Saham Nasional Berhad (ASNB), syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional  berhad (PNB), akan menganjurkan program Fiesta Labur PNB @Home secara langsung menerusi platform Facebook Amanah Saham Nasional Berhad dari 29 hingga 31 Oktober ini, dari pukul 10 pagi hingga 5.30 petang.

Acara tahunan anjuran ASNB ini bakal bersiaran di platform digital untuk terus menyediakan pelbagai aktiviti dan hiburan bagi seisi keluarga, sambil mendidik dan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan perancangan kewangan dalam kehidupan seharian.

Mohammad Hussin

Pelbagai ilmu dan maklumat pelaburan serta produk dan perkhidmatan ASNB akan dikongsi menerusi tiga segmen utama iaitu Borak-Borak Je, ASNB Kongsi dan Diva Labur.
Ketiga-tiga segmen ini akan menampilkan selebriti popular iaitu Ajak Shiro, Bell Ngasri, Haiza, Abby Fana dan DD Chronicle.

Mereka akan secara bergilir memudah cara program bersama panel jemputan termasuk Dr. Adam Zubir dan Alwi Adam yang merupakan penasihat kewangan berlesen; YouTuber Faiz Azmi, pengendali saluran kewangan Financial Faiz; dan Prof. Dr. Mohamad Akram Laldin, Pengarah Eksekutif Antarabangsa Akademi Penyelidikan Syariah bagi Kewangan Islam (ISRA).

Antara tajuk menarik yang akan dikupas dalam segmen Borak-Borak Je ialah “Kelebihan Pelaburan Konsisten… Biar Kecil, Jangan Tiada Langsung” oleh Dr. Adam Zubir; “Pulangan Tinggi, Apa yang Perlu Dikaji” oleh Alwi Adam dan “Pembiayaan ASB – Ambil Ikut Kemampuan, Optimumkan Pulangan!” oleh Faiz Azmi.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif ASNB, Mohammad Hussin berkata sebelum pandemik Covid-19, Fiesta Labur PNB yang mula dianjurkan pada 2016 pernah diadakan di Simunjan, Sarawak dan Putrajaya serta dianjurkan secara bersama di Karnival Jom Heboh TV3 bermula 2018.

“Bagaimanapun, seiring dengan norma baharu ketika ini, tahun ini ASNB menganjurkannya secara dalam talian menerusi Facebook rasmi kami supaya kami dapat terus mendekati orang ramai dan pelabur ASNB,” tambah beliau.

Program ini turut diadakan bersempena Bulan Literasi Kewangan 2021 anjuran Financial Education Network (FEN) yang berlangsung sepanjang Oktober ini. PNB merupakan ahli jaringan FEN yang bermatlamat memperkasa  penyampaian ilmu perancangan kewangan kepada orang ramai.

“Untuk mencapai matlamat ini, kami menjemput ahli panel berpengalaman dalam bidang perundingan kewangan dan pelaburan, untuk berkongsi kepakaran dalam sesi khas ‘Special Coaching’.

“Ia berbentuk kelas bimbingan dan khidmat nasihat bagi membantu peserta melabur dan mengurus kewangan dengan lebih baik dan berkesan,” jelas Mohammad.

Sesi ini menyediakan tiga tajuk pilihan dengan ahli panel berikut:

  1. Strategi Memaksimumkan Pulangan Menerusi Pembiayaan ASB oleh Penasihat
  2. Kewangan Berlesen, Suzardi Maulan;
  3. Asas Mengurus Kewangan untuk Mula Melabur oleh Penasihat Kewangan Berlesen, Alwi Adam; dan
  4.  Langkah Demi Langkah Urus Harta untuk Mudahkan Waris oleh Peguam di Tetuan Nor Zabetha Chinna & Co, Nor Zabetha Muhamad Nor.

Sesi ini akan dibawakan menerusi platform Zoom dan mereka yang berminat hanya perlu mendaftar di pautan yang tersedia di laman Web rasmi Fiesta Labur, Facebook rasmi ASNB dan Sembang-Sembang ASNB.

“Selain itu, kami juga menjemput ejen-ejen ASNB untuk berkongsi mengenai perkhidmatan yang mereka tawarkan khusus untuk pelabur ASNB,” kata Mohammad lagi.

Fiesta Labur kali ini turut menampilkan segmen istimewa Diva Labur oleh personaliti jemputan DD Chronicle yang akan berkongsi ilmu pelaburan dan perancangan kewangan menggunakan kaedah santai bagi memudahkan pemahaman orang ramai.  Sementara itu, trivia istimewa Olympiad50: ASNB&Anda turut dianjurkan untuk menguji pengetahuan orang ramai mengenai ASNB, pelaburan dan perancangan kewangan.

Peserta perlu menjawab 50 soalan berkaitan untuk berpeluang memenangi hadiah bernilai RM500 seorang untuk lima orang pemenang.

ASNB berharap program Fiesta Labur akan menjadi antara platform pilihan utama orang ramai untuk mendapatkan panduan dan maklumat mengenai pelaburan dan perancangan  kewangan, agar mereka boleh membuat keputusan pelaburan lebih bijak dalam persekitaran ekonomi yang sangat mencabar ketika ini.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman web Fiesta Labur PNB @Home, serta Facebook ASNB dan Sembang-Sembang ASNB.

(Visited 181 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button