Rencah Hidup

Seronoknya berkelah tengah laut sambil memancing

BIASANYA aktiviti memancing secara berkumpulan di laut lebih popular di kalangan kaum lelaki. Jarang sekali kita mendengar aktiviti seperti ini diminati oleh kaum wanita. Yang pasti kaum wanita lebih menggemari aktiviti Rombongan Che Kiah dengan menaiki bas untuk melancong sambil membeli-belah.

Makan tengah hari di bot tengah laut aktiviti menyeronokkan.

Bagaimanapun dengan ajakan seorang teman, Siti Rohani Yahaya atau lebih dikenal sebagai Kak Yam, 62, terus membuatkan penulis setuju untuk menyertainya bersama dengan empat lagi rakan untuk memancing di laut.

Apa yang menarik, empat peserta termasuk Kam Yam, dari Padang Benta, Kuala Perlis sekalipun menetap selama berpuluh-puluh tahun di kawasan berhampiran laut tetapi inilah kali pertama ke laut untuk memancing.

Ikan Ketuka sangkut di mata kail Kak Yam.

Kak Yam mengaku sangat teruja apabila berpeluang menjayakan rancangan ini setelah sekian lama mengimpikannya.

Kata Kak Yam, setiap peserta diminta membawa makanan untuk makan tengah hari dan juga peralatan memancing dengan tambang RM20 setiap seorang.


Katanya, kesemua peserta ini menaiki bot di pelantar Sungai Baharu, Simpang Empat mulai pukul 9 pagi dan pulang pada pukul 1 tengah hari.

“Kami memancing hanya di kawasan sekitar pulau Batu Layang iaitu kira-kira 1.3 batu nautika dari persisiran pantai,” katanya.

Sementara itu, di sepanjang aktiviti memancing selama empat jam itu sebanyak 12 jenis ikan berjaya dipancing.

Paling banyak ikan kerapu, gelama, puting damak selain ikan hantu, lembu, pelata, cencaru, bharat, talapia laut, cencaru, gerut dan ketuka,” katanya.

Ikan Sembilang laut seberat 500 gram berjaya dinaikkan Rohaya Ayob.

Sementara itu, Rohaya Ayob, 45,  tidak menyangka sekalipun tiada langsung pengalaman memancing tetapi mampu melakukannya dengan baik.

Lebih menarik apabila Rohaya menjadi ‘peserta’ yang berjaya menaikkan ikan paling besar iaitu sembilang seberat 500 gram.

Ini ikan Hantu namanya tapi dilepaskan semula ke laut.

Begitu juga dengan Siti Suhana Shafie, 45, juga bukan sahaja pertama kali memancing di laut tetapi menikmati makanan tengah hari di tengah lautan.

Kata Manira Omar, 46, sekalipun  sejak kecil tinggal di kawasan berhampiran laut tetapi  pengalaman pertama memancing di laut memang mengujakan.

“Tidak kisahlah panas membakar kulit, pengalaman memancing di laut adalah sangat menyeronokkan,” kata Norhanan Hassan atau lebih dikenali Nan Abadi, seorang pelakon dan pengiat seni di Perlis.

Nan juga tidak menjangka berjaya memancing ikan gelama, kerapu dan cencaru walaupun ini pertama kali memancing di laut.

Pengalaman selama empat jam memancing ikan dan menikmati makan tengah hari di lautan menjadikan peserta Rombongan Che Kiah ini  ingin kembali mengulang pengalaman yang mengujakan ini di lain masa. – SM

(Visited 184 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button