Nasional

Tambah baik Akta Orang-Orang Papa 1977, isu pengemis dijangka selesai September

Kajian semakan bagi menambah baik Akta Orang-Orang Papa 1977 dalam usaha menangani isu pengemis dijangka selesai September ini, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri.

Beliau berkata Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan mengumumkan dapatan kajian itu serta langkah seterusnya yang akan diambil bagi meminda akta tersebut.

“Sekarang masih dalam peringkat kajian… Kita juga sedang menambah baik akta berkaitan warga emas sebab itu perlu dilihat secara menyeluruh kesemua akta yang kita nak pinda itu,” katanya kepada pemberita selepas Program Rahmah Ramadan bersama penghuni Desa Bina Diri (DBD) di sini hari ini.

Tahun lepas, Bernama melaporkan kajian itu, yang bermula pada Julai 2022, bakal menetapkan hala tuju berkaitan isu pengemis dan gelandangan memandangkan ketika ini tiada punca kuasa serta perundangan yang khusus dalam pengoperasian dan pengendalian golongan tersebut di Malaysia.

Nancy juga berkata pihaknya akan mempertimbang keperluan menjalin kerjasama dengan Kementerian Kesihatan bagi mengendali penghuni DBD yang dikategori sebagai pesakit mental.

Ia berikutan statistik DBD Kuching menunjukkan bahawa setakat ini, sejumlah 63.1 peratus atau 24 penghuninya adalah pesakit mental yang mendapat rawatan susulan di Hospital Sentosa.

Selain Kuching, terdapat empat lagi institusi yang menempatkan kes orang papa termasuk pengemis iaitu DBD Mersing di Johor, DBD Jerantut (Pahang), DBD Kota Kinabalu (Sabah) dan Pusat Sehenti Bina Diri Sungai Buloh (Selangor). — BERNAMA

(Visited 209 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button