Sukan

Seri 1-1 dengan City, pemain cedera, Klopp salahkan jadual ketat sebagai punca

JURULATIH Liverpool Jurgen Klopp menyalahkan jadual perlawanan yang ketat sebagai punca pemainnya cedera termasuk yang terbaharu ialah Trent Alexander-Arnold yang cedera ketika seri 1-1 dengan Manchester City semalam.

Klopp mendakwa masalah kecederaan yang dialami pasukannya bakal menjejaskan penyertaan pemain terbabit dalam Kejuaraan Eropah pada musim panas akan datang.

Pemain pertahanan itu juga akan terlepas aksi bersama England pada perlawanan antarabangsa yang akan menyusul ekoran dipercayai berpunca daripada masalah otot.

Dia kelihatan terhencut-hencut pada separuh masa kedua dengan gol oleh Gabriel Jesus menafikan penalti oleh Mohamad Salah. Kevin De Bruyne pula gagal menyempurnakan penalti untuk City sebelum separuh masa pertama berakhir.

Pengurus Liverpool itu mengatakan bagaimana jadual perlawanan padat yang luar biasa kesan daripada pandemik Covid-19 mungkin akan memberi kesan kepada penyusunan semula Euro 2020.

“Diharapkan kita boleh bermain di Euro musim panas akan datang tetapi kalau kita berterusan seperti ini kita tengoklah pemain mana yang dapat beraksi nanti.

“Trent akan terkeluar dari pasukan England. Apa kecederaannya kami tidak tahu, tetapi dia tidak boleh bermain untuk England dan dia bukan yang pertama dan tidak akan menjadi yang terakhir yang Gareth (Southgate) akan hilang,” katanya.

Klopp juga menyokong kenyataan Pengurus Manchester United,  Ole Gunnar Solskjær yang mengkritik jadual perlawanan selepas pasukan itu terpaksa menentang Everton pada Sabtu selepas menentang Istanbul Basaksehir pada malam Rabu.

“Kami bermain (bulan lepas) selepas rehat antarabangsa pada pukul 12.30 tengah hari pada Sabtu di Everton. Sebahagian daripada pemain saya baru pulang dari Peru. Keadaan ini tidak sepatutnya berlaku,” kata Klopp. – TheGuardian

(Visited 145 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button