Sukan

Serena Williams, Olympia kali pertama tampil sesi fotografi bersama

SERENA Williams dan anak perempuannya, Alexis Olympia kelihatan cukup menawan sewaktu tampil buat kali pertama dalam sesi fotografi fesyen bersama.

Legenda tenis berumur 39 tahun itu berganding bahu bersama anak perempuannya yang berusia 3 tahun dalam penampilan sulung pada penggambaran tersebut.

Anak beranak itu yang membintangani kempen Stuart Weitzman’s Footsteps To Follow, kelihatan berseri dalam pakaian yang sepadan.

Selain mempamerkan beberapa pose menarik, ibu dan anak tersebut turut merakamkan satu video pendek bersama.

Dalam klip video itu, Serena telah membimbing Alexis Olympia mengulangi kata-katanya.

“Cinta. Kekuatan. Impian. Keindahan. Kebijaksanaan.

Kemudian Serena menyambung: “Saya sudah boleh menganggap Olympia sebagai mini saya. Dia adalah Serena kecil.

“Dia amat comel. Dan dia sangat seronok. Saya sendiri tidak tahu sama ada Olympia akan mengikut jejak langkah saya.

“Saya mahu dia bebas melakukan apa yang dia mahukan dan apa yang terbaik untuk dirinya.”

Video tersebut diakhiri dengan kata-kata penuh kasih sayang: “Bersama selama-lamanya.”

Sementara itu, dalam laman Instagram, Stuart Weitzman mendedahkan pelancaran kempen Footsteps To Follow.

Dengan berkongsi gambar Serena dan Alexis Olympia, mereka menjelaskan sasaran kempen tersebut yang menjadikan fokus bagaimana setiap generasi mampu menjadi inspirasi kepada generasi yang lain.

Dalam kenyataan itu, mereka menjelaskan: “Langkah seterusnya untuk SW x SW ada di sini.

“Memperkenalkan Kempen Musim Bunga 2021, Footsteps to Follow (Langkah untuk Diikut) yang dibintangi oleh duta global Stuart Weitzman, Serena Williams dan anak perempuannya, Alexis Olympia Ohanian, Jr dalam kempen fesyen pertama mereka bersama.

“Harapan dan optimis menjadi teras bagi setiap kempen SW x SW.

“Memperlihatkan ikatan yang kuat antara ibu dan anak perempuan dalam Footsteps to Follow yang menyoroti bagaimana setiap generasi dapat memberi inspirasi kepada generasi yang lain – sama ada ibu bapa kepada anak-anak atau sebaliknya – bagi mengikut jejak langkah atau mengorak langkah ke dunia baharu.”

Serena sebelum ini mendedahkan Alexis Olympia sangat berminat dengan fesyen.

Dalam temubual bersama E!, Serena berkata: “Saya tidak boleh memaksa anak saya menanggalkan pakaian puteri yang dipakainya. Dia mudah merajuk.

“Dia amat sukakan fesyen, gemar mengenakan pakaian yang cantik dan itu yang dimahukannya.”

Bulan lalu, Williams memberi bayangan bahawa dia mungkin bersara daripada sukan tenis, selepas tersingkir daripada Terbuka Australia di tangan Naomi Osaka dalam satu temu bual yang membuat bintang Amerika Syarikat itu mengalirkan air mata.

Kejohanan yang berlangsung di Down Under itu merupakan percubaan ke-11 Serena untuk memenangi gelaran Grand Slam ke-24, yang mana ia bakal menyamai pencapaian Margaret Court di kedudukan pertama dalam senarai kejuaraan utama itu.

Dia tumpas dalam empat perlawanan akhir Grand Slam dan usianya yang bakal menginjak 40 tahun pada September ini, menjadikan impiannya bertambah sukar untuk direalisasikan.

Serena tidak dapat mengelak daripada diajukan persoalan jika tindak tanduknya di dalam gelanggang sebagai cara dia mengucapkan selamat tinggal kepada kejohanan yang dimenanginya sebanyak tujuh kali, dengan yang terakhir pada 2017 sewaktu pemain itu hamil beberapa minggu.

Dalam sidang akhbar selepas perlawanan, Williams berkata: “Saya tidak tahu. Sekiranya saya mengucapkan selamat tinggal, saya tidak akan memberitahu sesiapa. Jadi…” – The Sun – SM

(Visited 61 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button