Nasional

Kerajaan arahkan operasi kilang arak ditutup serta-merta

Operasi kilang minuman keras di seluruh negara diarah tutup serta-merta susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh yang mula dikuatkuasakan hari ini.

Perkara itu diumumkan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang memaklumkan kilang minuman keras adalah tidak termasuk dalam kategori keperluan asas.

“Walaupun kebenaran beroperasi diberikan kepada kilang-kilang yang berasaskan makanan dan minuman namun ia hanya untuk keperluan asas.

“Kilang minuman keras adalah tidak termasuk dalam kategori keperluan asas,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Selepas kecoh pengakuan Ismail Sabri tidak tahu menahu kasino Genting Highlands dibuka ketika tempoh perintah kawalan pergerakan April lalu, kini tular pula surat kebenaran operasi bagi kilang minuman keras, Carlsberg Brewery Malaysia Berhad sepanjang tempoh “lockdown”.

Surat yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) itu mengesahkan pendaftaran syarikat berkenaan di dalam sistem MITI – Covid-19 Intelligent Management Sistem (CIMS 3.0) di bawah sektor makanan dan minuman dengan subsektor “air”.

Ketua Pemuda Amanah, Kevin Shawn Gomex yang hairan dengan kebenaran operasi itu, menuntut penjelasan terperinci daripada Menteri MITI, Datuk Seri Azmin Ali mengenai persoalan yang dibangkitkan netizen.

“Pemuda Amanah berasa hairan kerana pengumuman Ismail Sabri mengatakan hanya industri makanan dan minuman ‘Essential Services’ yang akan dibenarkan beroperasi.

“Kini timbul persoalan adakah produk kilang Carlsberg Brewery produk keperluan asas bagi rakyat Malaysia dan juga barisan hadapan menghadapi pandemik Covid-19 yang semakin mengganas,” katanya dalam satu kenyataan.

Justeru, pihaknya meminta kerajaan menyemak semula kebenaran yang diberikan kepada industri “bukan perlu” untuk meneruskan operasi dalam tempoh “lockdown” yang berkuat kuasa selama dua minggu bermula hari ini.

“Usah bermain judi dengan nyawa rakyat,” tegasnya.

Semalam, Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengumumkan perniagaan dan sektor dibenarkan beroperasi semasa sekatan penuh perlu memohon melalui pusat sehenti dikendalikan MITI.

Agensi itu berkata, pusat berkenaan akan mengeluarkan surat kebenaran bagi mereka yang disenaraikan sebagai perlu untuk beroperasi selepas mendapat pengesahan daripada kementerian yang mengawasi sektor berkaitan.

Keputusan itu dianggap tindakan pusingan “U” oleh pentadbiran Putrajaya berikutan Ismail Sabri dalam sidang media sehari sebelum itu berkata setiap kementerian akan mengeluarkan surat kepada perniagaan bawah bidangnya.

(Visited 668 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button