Nasionalpilihan

Blok C SMK Munshi Abdullah ditutup sepenuhnya akibat dipukul ribut

Kejadian ribut menyebabkan bumbung tujuh blok bangunan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Munshi Abdullah, Batu Berendam, di sini, rosak teruk petang tadi.

Kejadian berlaku kira-kira jam 2.30 petang dengan angin kencang disusuli hujan lebat.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, Blok C membabitkan bangunan pentadbiran dan kelas Tingkatan 3 dan 4 paling terjejas teruk.

“Menerusi lawatan saya tadi, selain struktur bumbung tercabut dan diterbangkan angin, saya difahamkan sistem pendawaian juga rosak, jadi blok berkenaan ditutup sepenuhnya sehingga dibaik pulih dilakukan.

“Pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) akan melakukan penilaian mengenai kerosakan yang berlaku dan kos untuk pembaikan,” katanya dihubungi di sini.

Mengulas lanjut Rahmad berkata, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka juga sudah memohon bantuan bencana segera kepada Kementerian Pendidikan bagi membaiki kerosakan yang berlaku.

“Kerja-kerja pembaikan dijangka mengambil masa dua bulan dan berikutan itu pihak sekolah akan mengadakan kelas sesi pagi dan petang bagi pelajar di kelas yang terjejas,” katanya.

Terdahulu, beliau bersama-sama Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka, Kerk Chee Yee merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Keroh serta Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin melawat SMK Munshi Abdullah.

Turut serta, Pengetua, Ramli Abdullah, pegawai JPN Melaka, wakil JKR dan Polis Diraja Malaysia.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh, Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Sany Sahari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 4 petang tadi.

Katanya, sepasukan enam pegawai dan anggota serta sebuah jentera kemudian ke lokasi untuk operasi menyelamat.

“Setibanya di lokasi, pasukan keluaran operasi mendapati bumbung sekolah tercabut akibat ribut dan memantau serta memeriksa keadaan sekeliling sekolah.

“Selepas mendapati tiada bahaya atau risiko lain pihak bomba menutup memasang pita kuning di kawasan terbabit dan operasi selesai sepenuhnya jam, 4.47 petang tadi,” katanya dalam kenyataan di sini. – SM

(Visited 79 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button