Politik

Mukhriz amat lemah, Pas kini sedia terajui Kedah

EKORAN kepincangan dan perpecahan yang kian tidak terkawal dalam Pakatan Harapan (PH) Kedah, Pas yang memiliki 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kini bersedia mengetuai pentadbiran kerajaan negeri tersebut.

Pesuruhjaya Pas Kedah, Ahmad Yahaya berkata, kenyataan ADUN Sidam, Dr Robert Ling Kui Ee secara terbuka mempertikaikan keputusan pemecatan timbalannya di Cabang PKR Sungai Petani menunjukkan beliau tidak sehaluan dengan kepimpinan PH.

Kata beliau, bakal ada beberapa lagi ADUN PKR lain yang akan mengikuti langkah Dr Robert, sekali gus berlaku pengurangan jumlah kerusi penguasaan PH di Kedah.

“Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sekarang bukan lagi Pengerusi PH Kedah.

“Beliau hanya mampu melihat tanpa berhak mencatur pergerakan ADUN PH daripada PKR kerana dari sudut gabungan, PKR dan Bersatu tidak lagi sehaluan.

“Mukhriz juga dalam keadaan amat lemah kerana daripada enam ADUN Bersatu Kedah, tidak sampai separuh yang berpihak kepadanya kerana banyak kelemahan yang gagal diperbaiki Mukhriz,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Ahmad berkata, pada dasarnya, PH Kedah telah tempang dan kehilangan majoriti untuk menerajui kerajaan negeri ini dan perubahan kerajaan negeri sudah tidak dapat dielakkan lagi.

“Pas Kedah memiliki 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah iaitu jumlah paling tinggi dalam kalangan parti yang ada bersedia menerajui pentadbiran kerajaan negeri ini.

“Atas semangat Muafakat Nasional Pas-UMNO, kami memiliki lagi dua kerusi milik UMNO menjadikan kesemuanya 17 kerusi DUN,” katanya.

Tambahnya, keyakinan itu turut mengambil kira kredibiliti calon Menteri Besar di kalangan ADUN Pas yang mempunyai pengalaman dan rekod yang bersih sepanjang bersama dalam kerajaan negeri ketika era Pas mentadbir Kedah pada 2008 sehingga 2013.

“Kecelaruan iklim politik yang dipamerkan PH ini telah memberikan kesan negatif terhadap penumpuan memajukan negeri dan rakyat menerima tempias buruk akibat perbalahan pemimpin PH,” katanya. – SM

(Visited 168 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button