Hiburan

Sensasi Seminggu: Kisah berpurdah dan buka hijab, ‘influencer’ dikecam netizen

SEPERTI biasa, minggu ini lima lagi kisah hangat melibatkan selebriti tempatan disajikan buat pengikut Suara Merdeka.

Lima kisah tumpuan minggu ini merangkumi pelbagai isu. Bermula daripada penghijrahan sehinggalah ke cerita yang mendapat kecaman netizen.

Bagi mereka yang terlepas apa kisah menarik hiburan minggu ini, jom baca rangkuman di bawah.

Seorang berpudah, seorang lagi buka hijab

Tahniah dan Alhamdulillah diucapkan kepada pelakon, pengacara dan usahawan, Neelofa yang kini tampil dengan imej baharu dengan bertudung litup dan berpurdah.

Penampilan itu mendapat pujian daripada ramai peminatnya dan rakan selebriti. Malah, ada selebriti yang mula menyatakan hasrat untuk mengikut jejak langkah Neelofa.

Setakat ini, belum pasti lagi bagaimana dengan kerjaya seni Neelofa atau adakah dia akan terus fokus pada dunia perniagaan sahaja.

Menariknya, sehari sebelum Neelofa tampil berpurdah, seorang lagi pelakon berhijab, Sarah Hildebrand mengambil keputusan untuk membuka tudungnya.

Sarah tidak memberi sebab mengapa keputusan itu diambil tetapi suaminya memberi sokongan terhadap apa jua alasan yang diberikan Sarah.

Seperti biasalah, ada netizen yang mendoakan Sarah supaya kekal kembali ke penampilan bertudungnya dan ada juga yang mengecam wanita tersebut.

Malah, dek kerana isu ini timbul berturut hari, ada yang mula membandingkan dua selebriti ini. Rasanya tak perlulah nak dibandingkan.

Masing-masing ada sebab untuk keputusan yang mereka ambil. Kita sepatutnya beri sokongan sahaja.

Sokong seseorang itu untuk menjadi lebih baik dan sokong seseorang yang sudah baik untuk kekal begitu.

Baucar RM50 sahaja? ‘Influencer’ dan ibu tepuk dahi

Kalau tanya siapa Sharifah Zarina, mungkin ramai yang kenal dengan lagunya yang berjudul Langit Ke 7. Tetapi untuk pengetahuan, anaknya juga seorang yang terkenal.

Menurut Athalia Deena Buswani, dia menggelar dirinya sebagai seorang ‘influencer’. Jadi kalau bergelar influencer, seseorang itu mestilah terkenal kan?

Berbalik kepada tajuk kisah, Sharifah Zarina memuat naik satu video yang menunjukkan dirinya beremosi terhadap sebuah restoran kerana tidak diberitahu yang premis itu akan ditutup ketika dia hadir.

Dipendekkan cerita, sepatutnya dia nak sambut hari jadi anaknya, Athalia tetapi terpaksa cari kedai lain kerana restoran itu mempunyai majlis tertutup pada petang ketika mereka hadir.

Sharifah Zarina kata dia malu la sebab dah bawa ramai kawan-kawan yang lain dan terpaksa cari restoran lain.

Kemudian, sebagai seorang influencer, Athalia beritahu yang dia telah dimalukan oleh kedai itu dan restoran itu hanya memberikan mereka baucar RM50.

Ingatkan dapat sokongan, rupanya netizen mula memaki pasangan anak beranak itu sehinggakan Sharifah Zarina menarik balik video emosinya terhadap restoran di akaun Instagram miliknya.

Senang cerita macam inilah, kalau nak jadi infuencer, jadilah seorang yang baik. Tunjukkan contoh yang baik.

Tak salah pun nak tegur, tapi tegurlah dengan cara yang baik. Bukan dengan muka bengang sampai orang pun rasa meluat nak tengok.

Carilah jalan yang terbaik Syamsul Yusof

Isu kemelut rumah tangga melibatkan pasanga pelakon, Syamsul Yusof dan Puteri Sarah Liyana akhirnya mendapat jawapan.

Syamsul baru-baru ini memberitahu yang isterinya hadir ke mahkamah bukan sebab penceraian, tetapi untuk mengambil nasihat daripada yang pakar.

Maksudnya memang kemelut rumah tangga sedang berlaku, tetapi tidaklah sampai ke tahap nak bercerai.

Baru-baru ini juga Syamsul hadir ke balai polis untuk membuat laporan berkenaan ugutan terhadapnya dan keluarga.

Dalam situasi yang berlaku ini, Syamsul begitu marah kepada pihak yang cuba mengganggu keselamatan isteri dan anak-anaknya.

Perkara itu sudah cukup menunjukkan yang kasih Syamsul pada isterinya masih menggunung. Rasa risaunya tak pernah padam.

Syamsul juga dalam kemelut yang berlaku sedar kesilapan dirinya yang terlalu obses dengan kerja.

Harapnya pengarah filem Munafik ini dapat mencari jalan yang terbaik untuk rumah tangganya. Janganlah sampai perkara yang tidak kita ingini berlaku.

Zulin Aziz dan Aliff Syukri bengang dituduh terlibat Macau Scam

Belum reda lagi sebenarnya kisah Macau Scam yang sebelum ini turut menyebabkan beberapa selebriti dipanggil ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Netizen nampaknya seakan tidak berpuas hati apabila menyerang selebriti tempatan yang pernah mempunyai hubungan rapat dengan individu didakwa terlibat Macau Scam.

Terkesan dengan perkara itu ialah Zulin Aziz yang menafikan penglibatannya dalam aktiviti Macau Scam.

Malah, Zulin berang kerana dirinya hanya berkawan sahaja dan tidak mempunyai sebarang kaitan perniagaan pun dengan mana-mana individu ‘scammer’.

Usahawan, Datuk Seri Aliff Syukri juga dikaitkan dengan mempunyai perniagaan dengan individu scammer tersebut.

Semua siasatan masih berjalan dan kita janganlah menghukum sesiapa. Seseorang itu tidak bersalah sehinggalah dibuktikan bersalah.

Lagipun ini adalah isu yang menjadi tumpuan ramai, jadi wanita seperti Zulin juga pasti rimas bila dikaitkan terlibat.

Biarlah siasatan selesai dan bila dah jatuh hukum, barulah kita boleh kecam. Nak kecam seguni pun tak mengapa. Dihalalkan.

Ammar Alfian tebus talak

Jarang kita nak dapat kisah bercerai dan bekas suami pula yang dapat duit.

Selalunya kalau ada pasangan selebriti yang bercerai, isu nafkah yang selalu dibangkitkan, tetapi untuk Ammar, dia pula yang terima wang tebus talak.

Pelakon Ammar Alfian, 33, dan isteri, Nelissa Nezam, 31, telah disahkan bercerai secara tebus talak di mana bekas isterinya itu perlu membayar RM7,000 kepada aktor tersebut.

Ammar juga memberitahu yang akhirnya kebenaran telah terbongkar.

“Dia mungkin punyai kelebihan memperdayakan pihak media hingga menentang saya namun kebenaran pasti akan terjawab,” katanya.

Bercerai pun sudah, kebenaran pun sudah terbukti. Apa yang penting sekarang kebajikan anak janganlah dilepaskan.

Aktor filem Paskal itu berkahwin dengan Nelissa pada Mac 2016 dan mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Kyro Shakur yang kini berusia setahun.

Perkara yang lepas biarkanlah berlalu. Tugas sebagai ibu dan bapa yang penting untuk mencorak masa depan anak tersebut. -SM

(Visited 655 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button