Alam SekitarBanjirNasionalNegeri

Banjir di pantai timur makin buruk: Lebih 9,000 mangsa berpindah ke PPS

LEBIH 9,000 mangsa banjir melibatkan lebih 3,000 keluarga di pantai timur terpaksa berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) hari ini.

Keadaan banjir yang melanda Terenggau, Kelantan DAN Pahang semakin buruk.

Di TERENGGANU jumlah mangsa terus meningkat kepada 7,780 orang daripada 1,822 keluarga berbanding 7,403 orang daripada 1,786 keluarga petang semalam.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, bagaimanapun peningkatan itu tidak terlalu membimbangkan.

“Ini kerana penduduk yang dipindahkan adalah kerana rumah mereka dinaiki air berikutan air pasang awal pagi tadi,” katanya.

Beliau berkata, pada ketika ini, terdapat 53 PPS di empat daerah iaitu 31 di Kemaman, Dungun (18), Hulu Terengganu (tiga) dan Setiu (satu).

“Daerah Kemaman yang paling teruk terjejas terus merekodkan pertambahan jumlah mangsa kepada 6,865 orang daripada 1,570 keluarga.

“Ini berbanding 6,623 orang daripada 1,552 keluarga petang semalam manakala jumlah mangsa di Dungun bertambah kepada 807 orang daripada 226 keluarga berbanding 663 orang daripada 186 keluarga sebelum ini,” katanya.

Bagaimanapun, Che Adam berkata, banjir di Hulu Terengganu bertambah baik apabila jumlah mangsa menunjukkan penurunan kepada 97 orang daripada 23 keluarga.

Ini berbanding 106 orang daripada 25 keluarga petang semalam manakala di Setiu pula, mangsa kekal 11 orang daripada tiga keluarga di satu PPS, katanya.

Menurut Jabatan Pengairan dan Saliran melalui portal http://infobanjir.water.gov.my, dua sungai di dua daerah negeri itu masih melepasi paras bahaya setakat 8 pagi tadi.

Sungai Kemaman di Kampung Paman, Kemaman setinggi 5.38 meter (m) mengatasi paras bahaya 4.5 m manakala Sungai Dungun di Kuala Jengal, Dungun mencatatkan paras 21.03 m melebihi paras bahaya 21 m.

Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan di tiga jajahan di negeri itu terus meningkat kepada 1,382 orang berbanding 1,214 orang petang semalam.

Aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan, Pasir Mas merupakan daerah paling terjejas dengan jumlah penduduk yang dipindahkan adalah seramai 1,085 orang daripada 410 keluarga yang ditempatkan di 14 lokasi PPS.

Di Tanah Merah, 143 mangsa daripada 39 keluarga ditempatkan di lima PPS manakala di Kuala Krai sebanyak lima PPS masih dibuka setakat ini bagi menempatkan 153 mangsa banjir daripada 43 keluarga termasuk seorang kurang upaya (OKU) lelaki dan dua OKU perempuan.

Menurut laporan infobanjir.water.gov.my, setakat ini hanya Sungai Golok di Rantau Panjang mencatatkan bacaan melepasi paras bahaya iaitu 10.34 m (bahaya 9 m) berbanding tiga sungai yang melepasi paras bahaya pada petang semalam.

Tiga sungai lagi merekodkan bacaan melepasi paras amaran iaitu Sungai Golok di Kuala Jambu, Tumpat 2.47 m (amaran 2.15 m), Sungai Kelantan di Kusial, Tanah Merah 15.49 m (amaran 14.00 m) dan Sungai Kelantan di Kuala Krai 24.21 m (amaran 22.50 m).

Selain itu, sungai di tiga lokasi di negeri itu menunjukkan bacaan melepasi paras waspada iaitu Sungai Golok di Jenob Tanah Merah 22.44 m (waspada 21.50 m), Sungai Kelantan di Jeti Kastam Kota Bharu 3.84 m (waspada 3.00 m) dan Sungai Galas di Dabong, Kuala Krai 32.98 m (waspada 32.00 m).

Sementara itu, PAHANG merekodkan sebanyak 38 orang daripada enam keluarga terjejas banjir sejak semalam dan mereka ditempatkan di dua PPS iaitu PPS Dewan Orang Ramai Sungai Ular, Kuantan (25 orang daripada enam keluarga) dan PPS Sekolah Kebangsaan Teh, Jerantut (13 mangsa daripada dua keluarga).

Menurut portal Info Bencana JKM Pahang, tujuh sungai masih berada di paras amaran iaitu Sungai Tembeling di Kuala Tahan, tiga kawasan di Sungai Pahang iaitu Sungai Yap di Jerantut; Lubuk Pasu, Temerloh dan Lubuk Paku, Maran, serta beberapa sungai di Kuantan iaitu Sungai Kuantan di Pasir Kemudi, Sungai Belat, Sri Damai dan Sungai Lepar di Jambatan Gelugor. – SM

(Visited 251 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button