Nasionalpilihan

Malaysia, Vietnam perkukuh kerjasama strategik bidang pertahanan, perbaharui MoU

MENTERI Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan telah mengadakan Lawatan Kerja ke Republik Sosialis Vietnam pada 4 dan 5 Disember 2023 atas jemputan rakan sejawatannya, TYT Jeneral Phan Van Giang, Menteri Pertahanan Negara Republik Sosialis Vietnam, untuk membincangkan langkah yang boleh dilaksanakan untuk meningkatkan kerjasama pertahanan antara kedua-dua negara.

Kedua-dua Menteri juga mengadakan Mesyuarat Dua Hala mengenai kerjasama pertahanan pada 4 Disember 2023 yang memberi tumpuan kepada peningkatan kerjasama ketenteraan, memupuk kerjasama dalam industri pertahanan dan mengadakan Dialog Strategik Pertahanan antara kedua-dua Kementerian.

Kedua-dua menteri terlibat dalam perbincangan yang produktif sambil menekankan kepentingan kestabilan serantau dan menyatakan komitmen kedua-dua negara untuk meningkatkan keupayaan pertahanan. Mesyuarat Dua Hala ini turut membincangkan mengenai pelbagai aspek kerjasama ketenteraan, termasuk latihan bersama, perkongsian perisikan, dan kerjasama dalam teknologi pertahanan.

Mohamad Hasan menekankan kepentingan penglibatan diplomatik dalam menangani cabaran kontemporari dan menegaskan semula usaha Malaysia untuk mengekalkan keamanan dan keselamatan serantau. Kedua-dua menteri membincangkan potensi kerjasama dalam industri pertahanan, memperakukan manfaat bersama yang boleh timbul daripada usaha sama dan pemindahan teknologi.

Dalam pertemuan ini juga, Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai kerjasama dalam bidang Pertahanan turut diperbaharui, di mana perjanjian MoU yang dimeterai sebelum ini telah tamat pada 2018. Pembaharuan itu merupakan satu peristiwa penting dalam mengeratkan semula hubungan pertahanan antara Malaysia dan Vietnam. Kedua-dua Menteri menyatakan komitmen mereka untuk melaksanakan perundangan yang termaktub dalam MoU tersebut dan memastikan kejayaannya dalam memperkukuh hubungan pertahanan dua hala.

Dalam sesi lawatan kerja ini juga, Mohamad Hasan telah membuat Kunjungan Hormat kepada TYT Pham Minh Chinch, Perdana Menteri Vietnam. Semasa pertemuan ini, Menteri Pertahanan Malaysia dan Perdana Menteri Vietnam telah membincangkan mengenai kepentingan kedua-dua negara dan memberi tumpuan terhadap keselamatan maritim. Kedua-dua pihak telah menyatakan minat bersama dalam mengekalkan persekitaran maritim yang stabil dan selamat serta meneroka jalan untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang kritikal ini.

Menteri Pertahanan menzahirkan rasa gembira kerana tahun ini genap 50 tahun penubuhan hubungan diplomatik antara kedua negara. Vietnam adalah satu-satunya Negara Anggota ASEAN di mana Malaysia telah tingkatkan kerjasama dua halanya kepada Perkongsian Strategik.

Perbincangan dua hala ini diharapkan dapat mengukuhkan jalinan persahabatan dan saling menghormati antara Malaysia dan Republik Sosialis Vietnam. Kedua-dua menteri menyatakan keyakinan yang positif terhadap perbincangan ini dan dapat meningkatkan potensi dalam kerjasama pertahanan pada masa akan datang antara kedua-dua negara. – SM

Artikel berkaiatan > Malaysia hantar tentera ke Lubnan tiada kaitan perang Palestin-Israel – Mohamad Hasan

(Visited 46 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button