Uncategorized

Senarai Penerima Geran MPDP – Institut Masa Depan Malaysia (MASA) Kini Diumumkan!

Geran penyelidikan yang diperkenalkan buat pertama kalinya oleh Institut Masa Depan Malaysia (MASA) tahun lalu mendapat sambutan yang memberangsangkan apabila menerima sejumlah 134 kertas cadangan daripada 21 institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta badan bukan kerajaan.

Kesemua kertas cadangan yang merangkumi tujuh bidang keutamaan di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) telah melalui proses tapisan awal oleh Sekretariat Program Pembangunan Dasar MASA (MPDP) diikuti penilaian oleh panel penilai terdiri daripada pakar bidang, mantan pegawai tinggi kerajaan serta ahli akademik.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Institut Masa Depan Malaysia (MASA), Azril Mohd. Amin, daripada jumlah itu, sebanyak 30 kertas cadangan merangkumi topik kajian dalam bidang ekonomi, sosial, kebajikan, pendidikan serta pembangunan lestari telah disenarai pendek dan diputuskan layak oleh panel penilai untuk menerima geran penyelidikan MPDP.

“Mereka yang terpilih akan ditawarkan geran penyelidikan bernilai sehingga RM10,000 untuk setiap kertas ringkasan polisi yang dihasilkan. Penerima geran MPDP juga digalakkan untuk menerbitkan laporan penyelidikan masing-masing dalam jurnal terkemuka, sama ada di dalam atau luar negara.

“MPDP diperkenalkan pada September tahun lalu bertujuan menyediakan peluang kepada penyelidik untuk memberikan input dan cadangan polisi bagi membantu proses pelaksanaan pemulihan negara serta strategi dan pelan kerajaan pasca Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan.


Azril berkata demikian ketika mengulas peluang yang ditawarkan MASA untuk perancangan negara pada masa depan.

Dalam pada itu, Institut MASA juga mengucapkan tahniah kepada penerima geran penyelidikan MPDP yang terpilih.

“Senarai penerima geran yang berjaya boleh dilayari di laman web Institut MASA di https://institutmasa.com/ms/geran-penyelidikan-program-pembangunan-dasar-masa-mpdp,” katanya dalam kenyataan itu.

(Visited 24 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button