Belang Bertempat

`Semuanya kau ada Julai’…rakyat resah, ekonomi getir, politik cacamarba

DUA hari sahaja lagi kita akan melangkah ke bulan Julai.

Julai tahun 2020 ini bukan Julai biasa. Kalau ‘Julai itu orang’, dia dikatakan bukan sembarangan orang.

Mari kita semak apa yang berlaku Julai:

1. 4 Julai 2020:

-Pengundian Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Chini, Pahang.
Jika menang lagi Barisan Nasional (BN), ia bermakna kali keenam parti itu bersama PAS yang disepakati melalui Muafakat Nasional menumbangkan Pakatan Harapan.

Meskipun PH kali ini tidak meletakkan calon di Chini, pemerhati mengandaikan dua calon Bebas, Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49, yang akan menentang Mohd Sharim Md Zain, 41, dari BN di Chini, adalah lebih kurang `calon PH’ juga.

Sejak PRK Port Dickson yang memihak PH menutup tirai 2018, PH memasuki 2019 dengan mengalami kekalahan kepada UMNO/BN di kesemua lima daripada enam PRK di Cameron Highlands, Semenyih, Rantau, Tanjung Piai dan Kimanis. Kecuali Sandakan yang dipertahankan DAP.

Daripada 10 PRK sejak PRU-14, lima kerusi berjaya dipertahankan oleh PH iaitu PRK DUN Sungai Kandis, DUN Seri Setia, DUN Balakong, Parlimen Port Dickson dan kerusi Parlimen Sandakan.

PRK Kimanis pada 19 Januari tahun ini jelas membuktikan BN berada di landasan untuk meraih kembali mandat rakyat apabila calonnya memperoleh majoriti 25 kali ganda dari yang diraih BN pada 9 Mei 2018.
Majoriti yang diperoleh BN meningkat kepada 2,029 undi berbanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 iaitu 156 undi.

2. 10 Julai 2020:

– Harijadi Tun Dr. Mahathir Mohamad ke-95 tahun. Selamat harijadi Tun. Awal sikit Belang ucapkan.  Tun Mahathir yang Belang kenali sering mengasaskan pendapat dan pandangan kepada logik dan data. Beliau perdana menteri Malaysia yang ke-4 dan ke-7. Dua kali jadi PM biasa bagi dunia luar: Winston Churchill juga dapat jadi PM Britain dua kali, kebanyakan presiden Amerika berkhidmat dua penggal.

Cuma pemegangan kuasa Tun Mahathir kali kedua tempoh hari sehingga beliau tiba-tiba meletak jawatan 24 Februari 2020, jauh bezanya daripada kuasa yang dipegangnya bagi tempoh 1981–2003. Kuasanya dahulu lebih mutlak, lebih berkesan dan lebih bebas membuat keputusan serta percaturan politik.

Meminda perlembagaan Persekutuan 1993 sehingga Raja-Raja hilang sebahagian kuasa tradisional mereka adalah sebahagian hasil kuasa besar itu. Dr. Mahathir waktu tempoh PM pertama itu berjaya meletakkan konsep keluhuran undang-undang atau rule of law seperti yang dituntut di bawah Rukunegara. Ketika PM ke-7, rule of law di bawah pentadbirannya sering kali diperdebatkan.

Barangkali, Dr. Mahathir kena rujuk banyak perkara kepada Majlis Presiden Parti Harapan. Hal-hal tulen Melayu sukar mendapat sambutan sebulat suara kerana realiti PPBM atau BERSATU cuma pada awalnya mempunyai 29 kerusi Dewan Rakyat berbanding 47 bagi PKR dan 42 DAP. Keadaan berbeza jika BERSATU beroleh, katalah, 50 kerusi Dewan Rakyat.

Dan akhir-akhir ini sahaja selepas berlaku `insiden lompat katak’, barulah BERSATU `bernyawa’ sebentar. Itupun belum pasti survival BERSATU di bawah presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam menghadapi sifunya, Dr. Mahathir, bekas pengerusi parti itu yang kini mengancam kedudukan PM ke-8 nya. Sekali lagi, selamat harijadi Tun Mahathir.

3. 13 Julai 2020:

– Khabarnya PH ‘sedang bersedia untuk melangkah masuk kali kedua ke Putrajaya’ melalui usul undi tidak percaya yang akan dibangkitkan dalam Sidang Dewan Rakyat 15 hari, bermula 13 Julai hingga 27 Ogos ini.

Belang masih terkenang lagi semasa Barisan Nasional (BN) buat pertama kali hilang majoriti dua pertiga dalam sejarah pilihan raya umum moden, PRU 8 Mac 2008 (BN menang 140 kerusi Parlimen vs Pakatan Rakyat, 82), dengan pembangkang mula mengadu-domba dengan sasarannya untuk menjatuhkan kerajaan secara tidak demokrasi.

Ketika itu Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bertindak sebagai ketua pembangkang mula bercakap tentang kerajaan dalam penantian (government-in-waiting).

Beliau berulang kali mengisytiharkan pakatan pembangkang waktu itu telah mempunyai cukup ahli parlimen BN, kira-kira 30 orang yang akan `lompat’ untuk menubuhkan kerajaan persekutuan – pada masa yang dianggap sesuai sebelum 16 September (2008) atau hari penubuhan Malaysia.

Malah, pemimpin PKR Sabah, Dr Jeffrey Kitingan ketika itu mendedahkan bilangan ahli parlimen yang akan melompat itu datang daripada tiga kumpulan iaitu Sabah, Semenanjung dan Sarawak. Jumlah setiap kumpulan itu lebih kurang sama.

Menurutnya, kumpulan pertama dari Sabah akan lompat pada akhir Mei atau awal Jun 2008, diikuti oleh kumpulan dari Semenanjung dan akhirnya kumpulan ketiga dari Sarawak.

Agaknya inilah senario lebih kurang cakap-cakap usul tidak percaya yang konon akan membawa kepada pengambilalihan kuasa PH ke atas Perikatan Nasional (PN) andai memasuki sidang Dewan Rakyat, 13 Julai depan.

Jika ia hanya “ bluffing strategy ” yang digunakan PH untuk mengelirukan musuh politik, maka ia lumrah sebagai perang saraf yang tidak asing lagi dalam percaturan politik negara kita.

Begitupun kasihan kepada Anwar kerana beliau kini bukan pilihan PH ataupun Dr Mahathir untuk diangkat sebagai PM ke-9.

Pilihan PH kini adalah Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal manakala Anwar cuma di kedudukan TPM 1 sambil diapit anak Dr Mahathir sebagai TPM II. Siapa lagi kalau bukan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz.

4. 31 Julai 2020

– Selamat Hari Raya Aidiladha. Belang masukkan juga sambutan hari raya haji ini dalam tarikh penting Julai 2020 kerana ramai yang berkeinginan menunaikan ibadah Rukun Islam kelima itu tidak dapat berbuat demikian.

Jun lalu, Lembaga Tabung Haji (TH) menangguhkan semua urusan berkaitan operasi haji bagi Musim Haji 1441H/2020M selaras dengan keputusan kerajaan untuk tidak menghantar jemaah haji negara ke Tanah Suci atas faktor keselamatan dan kesihatan. Ia melibatkan pemergian kira-kira 31,600 jemaah.

Penanguhan ekoran penularan wabak Covid-19 yang melanda dunia termasuk di Arab Saudi.
Penularan pandemik tersebut menimbulkan risiko kesihatan awam yang serius di seluruh dunia. Wabak ini telah menjangkiti lebih 7.4 juta orang manakala lebih 420,000 orang telah terkorban.

Itulah Julai yang sempat Belang garap signifikannya kepada negara dan rakyatnya.

Ada lagikah isu-isu Julai yang Belang terlepas pandang. Kalau ada, mari `pm tepi’ Belang, sambil selalu rajin-rajin layari portal suaramerdeka.com.my…jangan lupa ya!-SM

(Visited 312 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button