MahkamahNasional

Semua unsur untuk masuk keterangan baharu kes Najib dipenuhi-Hisyam Teh Poh Teik

MAHKAMAH Persekutuan diberitahu bahawa semua unsur yang diperlukan untuk penerimaan keterangan baharu dalam rayuan SRC International Najib Razak sudah dipenuhi.

Peguam utama bekas perdana menteri itu, Hisyam Teh Poh Teik berkata, Najib memenuhi semua syarat bawah Seksyen 93 Akta Mahkamah Kehakiman dan undang-undang kes yang ditetapkan.

Katanya, dokumen terkandung dalam sampul surat tanpa nama yang diterima Najib pada atau sekitar 9 Mei dan 7 Julai lalu tidak diberikan kepadanya dan tidak disediakan pihak pendakwaan semasa perbicaraan.

“Keterangan tambahan ini akan menentukan sama ada hakim perbicaraan berpotensi menjadi saksi dalam kes SRC dan hilang kelayakan untuk mempengerusikan perbicaraan,” katanya.

Tambahan, kata Hisyam, responden (pendakwaan) tidak mempersoalkan kredibiliti keterangan yang ingin diperkenalkan itu.

“Keterangan baharu itu perlu supaya tidak berlaku ketidakadilan,” katanya ketika meminta permohonan itu dibenarkan.

Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat mengetuai panel lima hakim Mahkamah Persekutuan dalam mendengar rayuan Najib.

Najib dalam permohonannya berkata, hakim Nazlan Ghazali perlu menarik diri daripada mempengerusikan perbicaraan itu kerana timbul konflik kepentingan ketika beliau menjadi peguam dan setiausaha Maybank Group.

Pihak pendakwaan bagaimanapun berkata, pertikaian itu tidak boleh dibangkitkan sekarang kerana maklumat berkaitan pekerjaan hakim itu dengan bank terbabit tersedia di domain awam sejak 2018, sebelum perbicaraan SRC bermula pada April 2019 lagi.

Peguam Najib mahu keterangan diambil daripada bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi, pegawai penyiasat kes SRC Rosli Hussein dan tiga pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mengambil keterangan daripada Nazlan baru-baru ini.

Pada 28 Julai 2020, Najib disabitkan bersalah atas tujuh tuduhan penyalahgunaan kuasa, pengubahan wang dan pecah amanah membabitkan RM42 juta dana SRC International. Beliau dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan didenda RM210 juta.

Pada 8 Dis 2021, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman itu, tetapi Najib dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu rayuan terakhirnya di Mahkamah Persekutuan. – SM

(Visited 503 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button