Sukan

Akid kuasai litar Jasin, muncul juara pusingan ke-3 PETRONAS Malaysian Cub Prix

Md Akid Aziz dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing meraih kemenangan bagi kategori CP150 di pusingan Ketiga Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix yang berlangsung di Bandar Jasin Bestari pada petang tadi.

Di sesi “Super Pole” yang berlangsung tengah hari tadi, Md Akid Aziz dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing mencatatkan masa terpantas pada 49’655s. Walaupun kedudukan pertama di grid memberikan beliau kelebihan untuk beraksi dengan lebih yakin, kategori CP1250 yang agak kompetitif lebih memerlukan kemahiran teknikal. Kedudukan kedua diambil oleh Md Iqbal Amri dari pasukan GIVI Tekhne Yamaha dengan catatan masa 49’666s dan diikuti oleh Md Helmi Azman dari pasukan SCK Honda Racing Team dengan catatan masa 49’697s.

Sejurus bermulanya perlumbaan, Akid memecut ke depan dan mengambil kedudukan P1. Beliau kelihatan yakin dengan jentera walaupun diberikan tekanan oleh Iqbal di P2. Menjelang lap ketiga, Afif yang berada di kedudukan keempat berjaya ke P2 diikuti oleh Azroy di P3. Pada ketika itu, Kasma yang memulakan perlumbaan di kedudukan P6 mula memberikan tekanan kepada Iqbal dan di lap ketujuh, Kasma berjaya mengambil kedudukan P4.

Di hadapan, kedudukan Akid tidak mungkin tergugat. Dengan setiap lap, beliau telah membuka jurang yang besar di antara Afif. Azroy pula semakin dicabar oleh Kasma yang cuba merampas kedudukannya. Dengan berbaki 6 lap lagi, percubaan Kasma membuahkan hasil apabila beliau memintas Azroy dari dalam di selekoh akhir. Perlumbaan tersebut berterusan dengan Akid teguh di kedudukan P1. Walaupun Afif cuba menutup jurang, Akid kelihatan yakin dengan momentumnya di hadapan. Berbaki tiga lap, Kasma cuba meningkatkan kelajuan untuk menutup jurang di antara Afif tetapi tidak berjaya.

Perlumbaan 20-lap tersebut berakhir dengan Md Akid Aziz dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing di tempat pertama dengan catatan masa 16’27:295s.

Menurut Akid, “Saya agak senang hati dengan pencapaian pada hari ini. Jentera saya dalam keadaan yang bagus kerana pasukan kami telah berusaha untuk mencari “setup” yang baik. Sepanjang hujung minggu ini, saya telah cuba untuk mempertingkatkan prestasi dengan masa lap yang lebih baik. Walaupun kita ada kekurangan, kami masih berjaya di tempat teratas.”

Rakan sepasukannya, Ahmad Afif Amran menamatkan perlumbaannya di tempat kedua dengan catatan masa 16’29:146s.

Kasma Daniel Kasmayuddin dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor menamatkan perlumbaan di tempat ketiga dengan catatan masa 16’34:369s.

Bagi kategori CP125 pula, Ahmad Syukran Aizat Md Yusoff menyambut kemenangan bersama pasukannya Rexxo Racing Team di Litar Jasin untuk pusingan ketiga, Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix.

Di sesi “Shoot Out” yang berlangsung terlebih dahulu, Md Fareez Afeez dari pasukan Jetron Yamaha YYPang Racing Team mencatatkan masa terpantas pada 51’753s. Ini memberikan beliau kelebihan untuk bertindak lebih awal di permulaan perlumbaan. Di tempat kedua terpantas adalah Ahmad Syukran Aizat dari pasukan Rexxo Racing Team dengan catatan masa terpantas pada 52’197s dan diikuti oleh Md Khairi Ashraf dari pasukan Jetron Yamaha YYPang Racing Team dengan masa terpantasnya pada 52’291s.

Sejurus bermulanya perlumbaan, Fareez yang mempunyai kelebihan di kedudukan pertama tidak melengahkan masa apabila beliau memecut ke depan dan mengambil P1. Di belakangnya, Hafiza cuba memintas dan di lap kedua, Hafiza mengambil kedudukan P1 untuk seketika sebelum dirampas kembali oleh Fareez. Menjelang lap ketiga, Arash mengambil kedudukan P3. Persaingan bertambah sengit bagi Hafiza apabila Syukran mencabar beliau lalu mengambil P2 di lap ke-6.

Di kedudukan P1, Fareez sudah jauh meninggalkan kumpulan pelumba di belakangnya. Selama 9 lap, Fareez menguasai Litar Jasin. Malang sekali, di lap ke-12, jentera Fareez mula memberi masalah. Ini membuka peluang kepada Syukran untuk tampil ke P1. Arash mengambil kedudukan P2 diikuti oleh Irfan di P3. Hafiza yang berada di P4 tidak putus asa dan cuba memintas Irfan. Dua lap sebelum tamatnya perlumbaan, Irfan berjaya memintas Arash. Pada lap terakhir, Syukran agak stabil di kedudukan P1 dengan jurang sebanyak 1.3s daripada Irfan tetapi persaingan sengit berterusan di antara Arash, Hafiza dan Khairi. Di selekoh terakhir, Khairi berjaya meningkatkan kelajuan sebelum memecut ke garisan penamat.

Ahmad Syukran Aizat Md Yusoff dari pasukan Rexxo Racing Team menyambar kedudukan pertama dengan catatan masa 13’16:448s.

Menurut Syukran, “Ini adalah tempat lahir “boss” saya maka saya telah berusaha lebih untuk mencapai pencapaian ini. Jentera saya untuk pusingan ini memang pada tahap optimum dan saya amat berterima kasih kepada krew dan pasukan.

Tempat kedua adalah milik Md Irfan Haykal Amidi dari pasukan Bad Lab Honda KC Racing dengan catatan masa 13’17:079s.

Md Khairi Asyraf Mahmood dari pasukan Jetron Yamaha YYPang Racing Team mengambil tempat ketiga dengan catatan masa 13’18:386s.

Sementara itu, Emil Idzhar Ezuan dari pasukan Yamaha Estremo 27 Racing tampil dengan kemenangan di Litar Jasin bagi kategori Wira KBS untuk pusingan ketiga, Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix apabila menamatkan perlumbaan dengan masa terpantas.

Selepas sesi kelayakan pada petang semalam, Md Adib Arsyad dari pasukan Yamaha Estremo 27 Racing telah mengambil tempat pertama di grid semasa perlumbaan akhir petang tadi. Di tempat kedua adalah Adib Hareez Hazwat dari pasukan Bad Lab Honda KC Racing dan di tempat ketiga pula adalah Emil Idzhar Ezuan dari pasukan Yamaha Estremo 27 Racing.

Keadaan cuaca pada petang tadi agak baik dan pelumba-pelumba Wira KBS telah memulakan perlumbaan dengan rentak yang hebat. Adib dengan pantas mengorak langkah dan mengambil kedudukan pertama di selekoh pertama. Beliau kemudiannya meningkatkan kelajuan dan membuka jarak dengan Amirun yang berada di kedudukan kedua. Selama tiga lap, Adib mendominasi litar sebelum beliau di pintas oleh Amirun. Emil yang pada ketika itu berada di kedudukan ketiga muncul di P2 dan mula memberikan tekanan kepada Amirun.

Di pertengahan perlumbaan, Emil berjaya memintas Amirun. Adib yang mendahului perlumbaan tersebut tidak mampu mempertahankan kedudukannya. Al Syakir pula mengambil kedudukan P3. Sepanjang perlumbaan, Emil tampak yakin dan meneruskan perlumbaan secara konsisten. Walaupun Amirun terus mencuba untuk memintas, Emil kekal mantap di kedudukan P1. Menjelang lap ke-10, Emil sudahpun jauh meninggalkan Amirun dengan jurang sebanyak 1.616s.

Emil meneruskan perlumbaannya ke garisan penamat dan mencatatkan masa terpantas bagi sesi 12-lap dengan catatan masa 10’42:453s.

Menurut Emil, “Semasa perlumbaan tadi, kami hanya berlumba mengikut “pace” kami tersendiri. Ramai yang tahu ini adalah litar baharu namun pelumba tahu cara untuk mengatasi cabaran. Saya berterima kasih kepada pasukan saya dan keluarga untuk sokongan dan galakan yang telah diberikan kepada saya dan syukur, saya berjaya di tangga pertama.”

Tempat kedua dan ketiga di ambil oleh pelumba sepasukan iaitu Amirun Haziq Johan dan Md Al Syakir Zufayri dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing, masing-masing dengan catatan masa 10’43:876s dan 10’50:909s.

Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix
Pusingan Ketiga

Perlumbaan Akhir

 

AKID KUASAI LITAR JASIN

 

(Visited 160 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button