Nasional

SPRM mula siasat Tengku Adnan

KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya telah mengarahkan pegawainya memulakan siasatan ke atas bekas Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berhubung pendedahan aset miliknya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, semalam.

Latheefa berkata pendedahan yang dibuat Tengku Adnan berhubung asetnya semasa membela diri dalam perbicaraan kes rasuahnya (Tengku Adnan) merupakan perkara serius.

“Saya telah mengarahkan untuk memulakan siasatan. Isunya bukan mengenai pendedahan aset itu, tetapi mengenai bagaimana dia memperoleh aset berkenaan,” katanya ketika ditemui media selepas memberi keterangan dalam perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd membabitkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di sini, hari ini.

Semalam, dalam prosiding membela diri bagi tuduhan menerima RM2 juta daripada ahli perniagaan Tan Sri Chai Kin Kong, Tengku Adnan memberitahu mahkamah beliau telah mengisytiharkan asetnya berjumlah RM1 bilion kepada tiga perdana menteri semasa beliau menyertai Kabinet bermula 2001, iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Najib.

Tengku Adnan mengesahkan bahawa beliau telah mengisytiharkan asetnya berjumlah RM938,643,566.16 kepada Dr Mahathir pada 2001, aset berjumlah RM711,325,822.00 kepada Abdullah pada tahun 2006; dan RM691,770,649.00 serta RM782,748,061.00 kepada Najib, pada 2013 dan 2016.

Latheefa dalam pada itu enggan mengulas berhubung spekulasi bahawa beliau telah meletak jawatan sebagai ketua pesuruhjaya SPRM. – BERNAMA

(Visited 361 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button