fbpx
Politik

‘Semua ahli politik cari titik persamaan, rakyat mual’

MENYEDARI hakikat rakyat muak dan mual dengan ketidakstabilan dan sikap ahli politik, maka wajar persengketaan dilupakan dan cari titik persamaan.

Tanpa mengira latar belakang parti, semua ahli politik digesa melaksanakan ‘gencatan’ dengan menghentikan semua pertelingkahan dan mengutamakan kesejahteraan rakyat.

Ini kerana, amatlah tidak patut ketika rakyat sedang berhadapan dengan krisis pandemik Koronavirus (Covid-19) dan kesan terhadap ekonomi, ahli politik pula sibuk berbalah berebut kuasa.

Namun untuk mencapai kedamaian politik, kesepakatan itu mesti terbina di atas tiga teras penting termasuklah keikhlasan kesemua ahli dan parti.

“Justeru, sudah tiba masanya semua ahli politik tidak kira parti mana sekalipun melakukan gencatan politik atas nama Perdamaian Nasional untuk memikirkan solusi terbaik bagi mensejahterakan kepentingan rakyat.


“Inilah saat terbaik untuk kita sama-sama mengetepikan perbezaan fahaman politik dan memberi tumpuan kepada Agenda Perdamaian Nasional atau National Reconciliation.

“Agenda Perdamaian Nasional perlu berpaksikan kepada tiga prasyarat utama. Pertama, political will atau iltizam politik.

“Kedua, political commitment atau komitmen politik dan ketiga, political sincerity atau kejujuran politik yang jitu untuk menjayakan agenda itu secara bersama dan menyeluruh.”

Demikian kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menerusi satu kenyataan yang diterbitkan Sinar harian hari ini.

Asyraf Wajdi juga berkata demikian menyedari rakyat akan mencari alternatif dengan menyokong parti politik yang lebih segar dan tidak terlibat dengan kancah perebutan kuasa seperti berlaku sekarang.

Tidak dinafikan wujud perbalahan dalam kalangan parti politik terutama blok kerajaan yang memberi kesan kepada kestabilan pentadbiran dan rakyat keseluruhannya.

Ini termasuklah pertikaian yang berlaku antara UMNO bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) atau Perikatan Nasional (PN).

Hal demikian menyebabkan terdapat pelabgai spekulasi timbul seperti perancangan rombakan kabinet, kejatuhan kerajaan PN, peralihan dan perebutan kuasa.

Walaupun hanya sebagai spekulasi, namun ia dikuatkan lagi dengan resolusi Mesyuarat Biro Politik Majlis Tertinggi UMNO yang menggesa Muafakat Nasional (MN) ditubuhkan sebagai parti.

Justeru, adalah wajar semua ahli politik kini melupakan semua persaingan, sebaliknya mencari titik persamaan untuk memandu negara keluar daripada krisis yang berlaku pada hari ini.

Bagaimanapun, tambah Asyraf, melupakan persengketaan tidak semestinya meninggalkan identiti parti masing-masing.

“Apa yang dimaksudkan dengan Agenda Perdamaian Nasional bukanlah bermakna kita mencairkan identiti dan ideologi perjuangan parti masing-masing.

“Sebaliknya, memberi keutamaan kepada parti-parti politik untuk menangguhkan seketika persengketaan yang tajam dalam soal pertarungan di koridor kuasa dan mengaktifkan pertemuan di meja perundingan bagi mencapai perdamaian,” ujarnya. – SM

Show More

Mohamad Athir Ismail

Berpengalaman lapan tahun dalam bidang kewartawanan termasuk penerbitan majalah, surat khabar dan portal berita. Sebelum menyertai Suara Merdeka, beliau pernah berhidmat di pelbagai syarikat penerbitan. Berminat meneroka bidang kewartawanan untuk perniagaan.

Related Articles

Back to top button