Nasional

Semua agensi perlu percepat laksana projek pembangunan di Sarawak: PM Anwar

KUCHING: Semua agensi terlibat termasuk Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Kementerian Pendidikan (KPM) digesa supaya mempercepatkan pelaksanaan projek pembangunan di Sarawak.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, antara keperluan mendesak ketika ini adalah pembangunan semula sekolah lama dan pembinaan sekolah baharu di beberapa kawasan luar bandar.

“Sebab itu, saya katakan ada keperluan untuk kita (Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri) meningkatkan usaha untuk menjaga kepentingan bersama.

“Malah ada juga cadangan yang meminta saya mengumumkan pembangunan sekolah baharu, sama ada menengah sekolah atau sekolah kebangsaan di merata Sarawak. Antaranya di Sarikei, Mukah, Daro, Sri Aman dan Saratok, sama ada pembangunan semula sekolah atau membina sekolah baharu.

“Justeru, saya minta semua projek ini jangan dilengahkan. Ia mesti dilaksanakan secepat mungkin kerana rakyat mahu projek ini disegerakan,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2025 Sarawak di Stadium Perpaduan, Petra Jaya di sini, hari ini.

Selain itu, Anwar turut menekankan keperluan untuk mempercepatkan pembinaan Hospital Kanser Sarawak di sini.

Menurutnya, perbincangan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak berhubung perkara itu berjalan lancar dengan Sarawak mendahulukan dana sendiri untuk membina kemudahan tersebut.

“Projek itu memerlukan peruntukan RM1 bilion dan keputusannya Sarawak mendahulukan dengan dana sendiri dan Kerajaan Persekutuan akan membayar kemudian.

“Sebab itu saya tekankan supaya pembinaan dipercepatkan. Apabila Timbalan Premier yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian mencadangkan tambahan, saya katakan – bukan sekarang.

“Kita perlu siapkan dahulu hospital ini, pastikan pembinaannya berjalan lancar dan cepat,” katanya.

Tambahnya, Sarawak mesti ada Hospital Kanser sendiri yang berfungsi sepenuhnya.

“Pusat ini akan menjadi yang utama di seluruh negara, dan ia merupakan satu sumbangan penting daripada Kerajaan Persekutuan.

“Jadi, kalau orang tanya mana Hospital Kanser terbaik di Malaysia, Insya-Allah dalam beberapa tahun akan datang, kita boleh berbangga dan katakan, ia (ada) di Kuching,” katanya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button