Nasional

Polis tubuh unit khas siasat kes kematian tahanan di lokap

Beroperasi mulai 1 Januari depan

POLIS menubuhkan Unit Siasatan Jenayah Kematian Dalam Tahanan (USJKT) bawah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) bagi menyiasat kes melibatkan kematian tahanan di lokap.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Hamzah Zainudin berkata, unit tersebut melibatkan 14 orang iaitu diketuai seorang pegawai berpangkat Superintendan, 12 orang pegawai polis serta seorang pegawai awam.

Hamzah berkata, unit berkenaan akan beroperasi bermula 1 Januari tahun depan di mana siasatan kes kematian tahanan tidak lagi bawah bidang kuasa pihak polis atau balai di mana kematian berlaku.

“Unit ini akan beroperasi bawah kendalian Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Aspirasi Keluarga Malaysia: Perluasan Fungsi Pos Kawalan Keselamatan Pasukan Gerakan Am (PGA) di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur.

Beliau berkata, penubuhan unit baharu itu menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap suara rakyat selain mempertingkatkan lagi integriti dan imej polis.

“Unit ini akan menumpukan siasatan unsur jenayah dan mengenal pasti subjek, siasatan kecuaian atau kelalaian anggota serta pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) dan arahan yang dikeluarkan.

“Saya sudah jelaskan di Parlimen, kematian di lokap berlaku bukan sebuah perkauman seperti dibangkitkan setengah pihak dan tidak ada kena mengena dengan gender,” katanya.

Hamzah berkata, sejak 2015 hingga 2021 sebanyak 82 kes kematian dalam lokap dan kematian dalam tahanan direkodkan yang membabitkan pelbagai bangsa.

Dalam pada itu, beliau juga berkata KDN akan berbincang dengan Kementerian Kewangan untuk melantik panel doktor bagi membawa terus tahanan ke klinik swasta.

“Prosedur yang digunakan sekarang ialah menunggu doktor yang dihantar Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Ia memakan masa yang lama.

“Kita kalau boleh dapat tangkap sahaja sebelum masuk lokap sudah ada panel doktor buat saringan dan barulah kita tahu kedudukan kesihatan tahanan,” katanya. – FMT – SM

 

(Visited 453 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button