Nasional

Sempena Hari Raya Adiladha esok, bersikap berlapang dada cegah perbalahan-PM

SIKAP berlapang dada membolehkan kita terus maju membangun dan mencegah diri daripada perbalahan yang hanya akan merugikan ummah, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sehubungan itu, beliau berkata, semangat toleransi yang berasaskan konsep Tasamuh dalam Islam menjadi salah satu elemen penting untuk mengekalkan perpaduan dan kesejahteraan Keluarga Malaysia.

“Dengan nilai-nilai ini kita dapat meneruskan kehidupan yang lebih harmoni di sebalik pelbagai ketidaktentuan dunia yang berlaku pada hari ini.

“Nilai Tasamuh ini turut tersemat erat dalam urusan ibadah haji. Ia tidak membezakan status dan darjat sesama insan, malah ia menggambarkan sebuah keluarga besar yang rukun, aman damai dan bersatu padu,” katanya.

Ismail Sabri berkata demikian dalam ucapan khas sempena Hari Raya Aidiladha yang bakal disambut oleh umat Islam di Malaysia esok.


Perdana Menteri juga berkata, Aidiladha memberi pengertian yang amat besar kepada umat Islam. Ia berkait rapat dengan keinsafan, pengorbanan, kebersamaan dan kesyukuran.
Justeru beliau berkata, kesanggupan berkorban harta kekayaan bagi membantu yang daif adalah kebajikan yang diseru oleh Islam. Ia adalah simbol ketaatan, ketakwaan dan kehambaan kita kepada Maha Pencipta.

Tambah beliau, Aidiladha juga mengajar kita mensyukuri nikmat yang dikurniakan Allah SWT dan berkorban untuk membantu yang memerlukan dan menginsafi nasib mereka yang lebih daif dengan melakukan kebajikan agar yang miskin tidak terpinggir.

Ia selari dengan konsep Keluarga Malaysia yang saya cetuskan pada Ogos tahun lalu iaitu bagi memastikan tidak ada Keluarga Malaysia yang ketinggalan atau “no one will be left behind”, kata Ismail Sabri.

Perdana Menteri berkata, hari ini, seluruh dunia berhadapan dengan cabaran ekonomi yang antara lain berpunca daripada konflik geopolitik dan perubahan iklim global.

“Ia menjejaskan kehidupan seharian kita semua. Namun begitu, Kerajaan sentiasa mendengar dan memahami denyut nadi seluruh Keluarga Malaysia,” ujarnya.

Beliau berkata, Kerajaan pada masa kini sedaya upaya berusaha untuk menangani impak inflasi global termasuk menubuhkan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi.

“Pasukan ini berperanan menyatukan semua kementerian dan agensi-agensi berkaitan bagi menyelesaikan kesulitan yang dihadapi oleh Keluarga Malaysia dengan segera.

“Namun Kerajaan tidak dapat melakukannya sendirian. Justeru saya menyeru seluruh Keluarga Malaysia bersamasama berganding bahu menanganinya.

“Ini adalah jihad kita bersama untuk memastikan ekonomi negara kembali pulih,” jelas beliau.

Pada ketika ini, lebih 14,000 jemaah Malaysia menjadi tetamu Allah SWT di Tanah Suci Mekah.

“Saya mendoakan kesemua mereka dipermudahkan urusan dan dikurniakan haji yang mabrur.

“Pada masa yang sama, perbezaan fahaman politik antara kita harus diketepikan, buktikan keinsafan dan kesyukuran kita dengan bersama-sama dalam meningkatkan martabat agama kita serta memupuk hubungan yang baik dengan rakan-rakan kita daripada keturunan dan agama yang lain,” katanya.

“Akhir sekali, marilah kita berdoa semoga dengan semangat pengorbanan yang diamalkan oleh Keluarga Malaysia, kita mampu menjadikan tanah air ini kalis cabaran, kukuh dan terus maju mendepani apa jua situasi dan cabaran mendatang,” kata Perdana Menteri Ismail Sabri. – SM

(Visited 52 times, 1 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button