Nasional

Perompak bersenjatakan senapang patah larikan emas bernilai RM178,000

SEORANG perompak bersendirian bersenjatakan senapang patah dan kapak berjaya melarikan barangan emas bernilai RM178,000 selepas merompak sebuah kedai barang kemas di Jalan Langgar, di sini, semalam.

Suspek dilaporkan menegur seorang pekerja wanita di kedai itu dengan ‘Hai’ sebelum mengambil masa kira-kira tiga minit untuk merampas barangan emas berkenaan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Star, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, polis menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu daripada anak pemilik kedai berkenaan pada pukul 5.10 petang semalam.

Katanya, pengadu memaklumkan kepada polis bahawa suspek bersenjatakan senapang patah dan kapak.

“Hasil siasatan mendapati suspek dipercayai tekong, setinggi kira-kira 170 sentimeter, memakai topi keledar berwarna putih, jaket biru, seluar hitam, kasut hitam dan membawa sebuah beg badminton.

“Suspek masuk ke dalam kedai barang kemas itu dan menyambar seorang pekerja wanita sebelum meletakkan begnya di atas lantai, membukanya, mengeluarkan senapang patah dan mengacukannya ke arah pekerja wanita itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Syed Basri berkata, suspek yang memakai sarung tangan telah mengeluarkan kapak daripada beg berkenaan dan memecahkan cermin kaca paparan emas beberapa kali sehingga pecah.

Beliau berkata, suspek berjaya mengambil barangan emas itu daripada meja pameran yang mengandungi 32 utas rantai emas yang dianggarkan bernilai RM178,000.

“Suspek meletakkan barang curi itu ke dalam beg berkenaan dan segera melarikan diri ke arah sebelah kiri kedai.

“Ketika kejadian, tiada pelanggan, hanya seorang pekerja wanita, seorang wanita dipercayai pengurus kedai dan seorang lelaki, anak pemilik kedai,” katanya.

Syed Basri berkata, suspek dipercayai menggunakan sebuah motosikal jenis Suzuki Raider berwarna gelap.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 4 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana mempunyai senjata api semasa melakukan rompakan. – SM

Baca : Ucapan Naib Canselor UPSI sempena konvokesyen tular 366k di media sosial

(Visited 42 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button