Jenayah

Sembilan produk cantikkan muka ada kimia berbahaya

BAHAGIAN Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)  mengesan sembilan produk kecantikan yang berada dipasaran  mengandungi racun berbahaya.

Dalam satu kenyataan, KKM menggesa orang awam untuk mengelak daripada membeli dan menggunakan produk-produk kosmetik tersebut kerana mengandungi racun berjadual.

Racun berjadual yang digunakan dan berbahaya kepada orang ramai adalah merkuri, hydroquinone, tretinoin,  dan betamethasone 17-Valerate,. 

Produk terbabit termasuk  keluaran Deeja Cosmetics iaitu Deeja Cosmetics Laika Cream  yang dikesan diletakkan merkuri serta  Deeja Cosmetics Zulai Cream  dan  Deeja Cosmetics Yus Cream  yang mengandungi hydroquinone.

Juga dikesan mengandungi racun berjadual yang dikeluarkan oleh syarikat Dnars iaitu Dnars Luvee Cream (Normal & Sensitif) yang mengandungi hydroquinone dan Dnars Gold Lifthing Serum (night) yang mengandungi merkuri.

Turut dikesan mengandungi kimia berbahaya adalah Sparkle Beauty Cream yang mengandungi hydroquinone, tretinoin dan betamethasone 17-valerate serta produk Sparkle Sun Day Cream yang mengandungi merkuri.

KKM turut menasihatkan orang ramai daripada menggunakan  Qeziger Age-locking Recharging Spot A.M Cream dan  MS Skinz Night Cream  yang disahkan terdapat bahan merkuri.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh KKM, merkuri boleh diserap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf. Ia juga boleh menganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan.

Merkuri juga boleh menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit.

Hydroquinone pula menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini dan kulit menjadi hipersensitif.

Hydroquinone juga boleh menghalang proses pigmentasi (depigmentasi) yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar UV merbahaya dan boleh meningkatkan risiko kanser kulit.

Penggunaan tretinoin tanpa pengawasan profesional kesihatan boleh menyebabkan bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari.

Manakala Betamethasone 17-Valerate boleh menyebabkan bahagian kulit muka yang disapu menjadi nipis dan mudah mengalami iritasi, berjerawat, perubahan pada pigmentasi kulit dan meningkatkan risiko untuk diserap ke dalam sistem peredaran darah yang boleh membawa kesan mudarat.

Notifikasi produk-produk kosmetik terlibat telah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, KKM. dan produk-produk kosmetik tersebut tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia.-SM

(Visited 754 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button