fbpx
Nasional

Sembilan pemandu mabuk didakwa mengikut pindaan akta baharu

Lapan lelaki dan seorang wanita menjadi individu terawal dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini, mengikut pindaan baharu Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan pindaan 2020 yang berkuat kuasa Jumaat lepas.

Kesemua tertuduh berusia antara 25 hingga 56 tahun itu didakwa atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol melebihi had ditetapkan iaitu 50 miligram dalam 100 mililiter darah, di sekitar Johor Bahru antara 23 hingga 25 Oktober lepas.

Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 pindaan 2020 memperuntukkan hukuman denda maksimum RM30,000, penjara sehingga dua tahun serta hilang kelayakan lesen selama dua tahun.

Lapan daripada mereka termasuk tertuduh wanita mengaku bersalah, manakala seorang lagi minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Asidah A. Rahman.

Nur Asidah kemudian menjatuhkan hukuman penjara tujuh hari, denda RM10,000 serta hilang kelayakan lesen memandu selama dua tahun ke atas lapan tertuduh.


Mahkamah turut memerintahkan kesemua mereka menjalani hukuman penjara dari tarikh sabitan dan dipenjara 10 bulan lagi jika gagal membayar denda.

Bagi seorang tertuduh yang mengaku tidak bersalah, mahkamah membenarkan jaminan RM13,000 dan menetapkan tarikh sebutan semula pada 26 Nov.

Terdahulu, Pegawai Pendakwaan Trafik Asisten Superintenden Azmi Abdul Salam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada semua tertuduh dan masyarakat awam.

Kelapan-lapan tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman denda minimum atas alasan mereka telah insaf dan perlu menanggung keluarga.-BERNAMA

Show More

Related Articles

Back to top button