Nasional

PM putuskan sertai APEC 2023 di San Francisco

APEC akan berlangsung di San Francisco dari 11 sehingga 17 November

PERDANA Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim hari ini memutuskan untuk menghadiri Minggu Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2023 di San Francisco, Amerika Syarikat (AS) yang bermula hujung minggu ini ketika terdapat desakan untuk beliau tidak menyertainya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, keputusan untuk menyertai persidangan itu adalah bagi menjaga kepentingan negara dari pelbagai sudut hubungan diplomatik, keselamatan dan ekonomi serta menegaskan bahawa beliau tidak berganjak dalam mempertahankan keadilan dan perjuangan rakyat Palestin.

Presiden AS, Joe Biden

Menyedari keputusan itu pasti tidak menyenangkan semua pihak, Anwar berharap, beliau tidak dihukum sebagai pro Israel kerana hadir ke persidangan berkenaan yang difahamkan setakat ini akan dihadiri semua negara Asia atas jemputan Presiden AS, Joe Biden.

“Bagi saya keutamaan adalah menjaga hubungan diplomatik dan keamanan walaupun pada masa yang sama, tidak berganjak dalam mempertahankan keadilan dan sokong perjuangan hak rakyat Palestin,” katanya.

Perdana Menteri Anwar berkata demikian ketika berucap pada majlis perjumpaan bersama warga Kementerian Kewangan, hari ini seperti dilaporkan Bernama.

Anwar berkata, sebagai Perdana Menteri, beliau mahu menjaga kepentingan negara ini, keselamatan, ekonomi dan kesenangan  Malaysia.

Beliau juga mengakui wujudnya desakan agar beliau tidak menyertai APEC 2023 itu.

Untuk rekod,  APEC merupakan Forum Ekonomi Serantau yang ditubuhkan pada 1989 untuk memanfaatkan saling kebergantungan yang semakin meningkat di Asia-Pasifik.

Dan pada tahun ini, 2023, APEC akan berlangsung di San Francisco dari 11 sehingga 17 November ini.

Kesemua 21 ekonomi negara anggota APEC menyumbang hampir 40 peratus daripada populasi global, hampir 50 peratus daripada perdagangan global dan lebih daripada 60 peratus eksport barangan AS.

Anggota APEC terdiri daripada Australia, Brunei, Kanada, Chile, China, Hong Kong, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, Malaysia, Mexico, New Zealand, Papua New Guinea, Peru, Filipina, Rusia, Singapura, Taipei, Thailand, AS dan Vietnam.

Anwar berkata, keutamaan Malaysia untuk Palestin adalah keamanan serta bantuan kemanusiaan bagi membantu kehidupan rakyat negara itu yang terjejas.

Perdana Menteri Anwar seterusnya menyarankan kepada mereka yang prihatin agar berusaha menambah kutipan tabung Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) yang kini berjumlah RM100 juta.

Dan Kerajaan akan pastikan kiriman sumbangan itu sampai kepada penduduk Palestin di Gaza menerusi badan yang boleh dipercayai.

Tabung AAKRP yang diselia oleh Kementerian Luar diwujudkan susulan konflik keganasan dan pertempuran di Semenanjung Gaza yang menjejaskan kehidupan penduduk Palestin di kawasan berkenaan.

Sementara itu, Perdana Menteri Anwar turut meminta semua pihak dalam negara ini supaya tidak mempolitikkan isu Palestin-Israel.

“Saya lihat kadang-kadang polemik parti dan golongan ekstrem agak melampau. Sudahlah. Dalam isu Gaza ini, kita berpakatlah bersama-sama, orang dibunuh, anak-anak kecil mati, fikirlah bersama bagaimana nak membantu,” katanya.

Pertempuran terkini di Palestin yang melibatkan Hamas, pihak berkuasa di Gaza dan rejim Israel sejak 7 Oktober telah mengakibatkan kehilangan ribuan nyawa. – SM

BACA Nancy wakili Malaysia ke Mesyuarat Peringkat Menteri Pelancongan Apec Ke-11

BACA APEC: Guan Eng marah nama dipetik Azmin

BACA MRT-APEC tumpu perdagangan dalam menangani pandemik COVID-19

(Visited 40 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button