Mahkamah

Seludup tujuh PATI: Dua lelaki didenda RM70,000

Dua lelaki didenda RM70,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka di sini hari ini selepas mengaku bersalah menyeludup tujuh pendatang asing tanpa izin (PATI) empat tahun lalu.

Tertuduh, Nazar Sukkur, 56, seorang pemandu teksi dan Khairul Nasir, 40, seorang buruh membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati secara bersama-sama telah membenarkan tujuh PATI berada di dalam sebuah teksi jenis Toyota Innova sekitar jam 11.30 malam di pesisiran pantai Jalan Pokok Asam, Melaka Tengah pada 10 Disember 2018.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 55(1) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 55E(2) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda minimum RM5,000 dan sehingga RM30,000 atau penjara maksimum 12 bulan atau kedua-duanya bagi setiap PATI.

Kedua-dua tertuduh ditahan atas maklumat selepas disyaki terlibat dengan aktiviti menghantar pulang PATI warga Indonesia dan Bangladesh.

Kegiatan itu telah dijalankan menggunakan teksi milik Nazar dan sebuah Proton Wira milik bapa Khairul.

Terdahulu, Nazar yang diwakili Peguam Datuk Baljit Singh dan Khairul diwakili Zulfikri Zakaria merayu agar hukuman mereka diringankan dengan alasan telah insaf dan mempunyai tanggungan keluarga.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Yusof memohon agar hukuman setimpal diberikan kepada kedua-dua tertuduh sebagai pengajaran dan mengambil kira kepentingan awam.

Mahkamah kemudian menetapkan denda RM35,000 kepada setiap tertuduh atau penjara tujuh bulan jika gagal bayar. – SM

(Visited 127 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button