Rencana

Selok belok pengampunan dan pemenjaraan Najib Razak

BELUM seminggu bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak memanaskan tilam dalam penjara, sudah riuh di luar sana memperkatakan tentang kemungkinan Najib mendapat pengampunan Yang di-Pertuan Agong.

Semalam, di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTC) telah diadakan taklimat khas yang dipanggil oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kepada seluruh ahli parti termasuk ketua-ketua bahagian daripada seluruh negara.

Selepas Najib disabitkan kesalahan rasuah dan pengubahan wang haram dalam kes SRC International minggu lepas, menjadikannya bekas perdana menteri pertama yang dipenjarakan.

Seorang profesor madya di City University of Hong Kong, Daniel Pascoe berkata, pengampunan dikawal selia oleh Perlembagaan Persekutuan, Kanun Prosedur Jenayah dan Peraturan Penjara.

Perlembagaan memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk “memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum” bagi kesalahan yang dibicarakan oleh mahkamah tentera dan semua kesalahan yang dilakukan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Di negeri-negeri lain, kuasa pengampunan terletak dalam tangan raja-raja atau yang di-pertua negeri.

Memetik laporan FTM, Pascoe yang menjalankan penyelidikan mengenai sistem pengampunan di Malaysia berkata, banduan yang menjalani hukuman jangka panjang secara automatik akan dipertimbangkan untuk ringankan hukuman.

Di bawah peraturan penjara, laporan bulanan setiap banduan yang telah menjalani empat, lapan, 12 atau 16 tahun hukuman pada bulan sebelumnya mesti dikemukakan kepada Lembaga Pengampunan untuk pertimbangan, kata Pascoe.

“Banduan juga boleh membuat petisyen atas kerelaan mereka sendiri. Seorang banduan boleh mengemukakan petisyen untuk pengampunan sebaik sahaja boleh, susulan sabitan.

“Petisyen kedua boleh dikemukakan tiga tahun selepas sabitan dan petisyen seterusnya setiap dua tahun,” jelasnya.

Peguam Andrew Khoo pula berkata kepada FMT, walaupun Agong atau raja-raja mempunyai kuasa untuk memberikan pengampunan, mereka dinasihati oleh Lembaga Pengampunan.

Lembaga akan mempertimbangkan permohonan dan kemudian menasihati raja atau pemerintah negeri.

“Ada proses yang perlu diikuti,” kata Khoo.

Berbalik kepada Pascoe, beliau berkata, kes membabitkan banduan persekutuan akan dibicarakan oleh Lembaga Pengampunan persekutuan.

Lembaga ini dianggotai peguam negara, menteri wilayah persekutuan dan tiga wakil awam serta dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Suara yang paling penting dalam lembaga tersebut ialah peguam negara dan menteri.

“Peguam Negaralah yang akan meminta Agong mengadakan mesyuarat di mana Agong menerima nasihat lembaga.

“Agong bebas untuk bertindak bertentangan dengan nasihat tetapi wujud konvensyen dalam kes-kes persekutuan di mana baginda menerima nasihat lembaga, selaras dengan peranan istiadatnya,” kata Pascoe.

Pascoe berkata, di Malaysia, pengampunan juga boleh termasuk mengurangkan hukuman mati kepada hukuman yang lebih ringan, mengurangkan tempoh hukuman penjara atau membebaskan pemohonan dari penjara.

“Sebelum pengampunan bekas timbalan perdana mengeri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 2018, secara umumnya dianggap bahawa pengampunan tidak boleh mengetepikan sabitan jenayah seseorang banduan,” katanya.

Bagaimanapun, Anwar bukan sahaja dibebaskan dari penjara malah sabitan jenayahnya turut diketepikan yang membolehkan beliau dipilih semula sebagai Ahli Parlimen tanpa menjalani tempoh menunggu selama lima tahun.

Pascoe menambah, kuasa pengampunan yang begitu luas dimiliki Agong adalah wajar kerana kuasa perlembagaan untuk memberi pengampunan di Malaysia dipengaruhi oleh kedua-dua prerogatif kedaulatan United Kingdom untuk belas kasihan dan keistimewaan yang dinikmati oleh Sultan Melayu sebagai penjaga agama Islam di negeri masing-masing. – SM

(Visited 243 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button