BeritaPolitik

Selepas UMNO Selangor, PKR Sarawak pula bergolak

Selepas UMNO Selangor, PKR Selangor, kini giliran pergolakan PKR Sarawak selepas satu konvensyen negeri parti itu diadakan di Miri hari ini.

Penyokong kumpulan Baru Bian menyifatkan acara itu gagal dengan kehadiran kurang daripada 500 orang.

Bagaimanapun seorang anggota pengajur mempersoalkan dakwaan bahawa konvensyen itu tidak mendapat sambutan dengan berkata, bilik persidangan itu sesak sehingga hanya terdapat ruang untuk berdiri.

“Kami tempah dewan untuk 800 orang, tetapi 1,500 yang datang,” katanya. “Hadirin lain terpaksa berdiri.”

Konvensyen tersebut, yang dirasmikan oleh Presiden PKR Anwar Ibrahim, diadakan atas arahan kepimpinan pusat parti itu selepas pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian berkata ia dibatalkan.

Lapor FMT, seorang pemimpin parti yang menyokong Baru Bian, tetapi enggan dikenali mendakwa Anwar tidak berpuas hati dengan hasil konvensyen tersebut dan tidak berjumpa atau mengadakan perbincangan dengan penganjur acara.

“Mereka (penganjur) menganggarkan 1,500 orang akan hadir, tetapi dewan tersebut hanya boleh mengisi 600 hadirin. Kurang daripada 500 orang hadir. Ia memalukan,” katanya.

Seorang anggota PKR mendakwa wang RM200 seorang dibayar kepada anggota yang hadir.

Bagaimanapun salah seorang penganjur, ketua PKR Miri, Michael Teo, menafikan dakwaan itu.

Beliau berkata, sebilangan anggota memboikot acara tersebut, sementara yang lain keliru sama ada konvensyen itu akan diadakan, tetapi bilangan anggota yang hadir melebihi jangkaan mereka.

Pada Khamis, setiausaha agung PKR Saifuddin Nasution memaklumkan bahawa konvensyen itu akan diteruskan walaupun dibantah oleh Baru Bian dan pimpinan PKR negeri yang lain.

Seorang penyokong Baru Bian memberitahu FMT bahawa Anwar mendapat maklumat salah dari akar umbi berhubung pembatalan konvensyen tersebut.

Beliau mendakwa wujud “perjanjian budiman atas semangat Perjanjian Malaysia 1963” bahawa semua urusan negeri akan diputuskan oleh majlis kepimpinan PKR negeri Sarawak.

Katanya, ini bukanlah kali pertama sesetengah pihak mendesak supaya Baru Bian digugurkan sebagai pengerusi PKR Sarawak.

Menurut anggota kumpulan Baru Bian, Teo dan dua yang lain, iaitu ketua PKR Selangau Joshua Jabeng dan ketua PKR Julau, Larry Sng, “membantu” kepimpinan pusat menganjurkan konvensyen tersebut dan “mengambil alih” kepimpinan PKR Sarawak.

Teo berkata, kepimpinan PKR Sarawak tidak diberi kuasa untuk membatalkan konvensyen tersebut kerana ia tertakluk kepada biro politik PKR, majlis kepimpinan pusat dan presiden sendiri.

Berhubung dakwaan tentang gesaan supaya Baru digugurkan, Teo berkata, beberapa orang pemimpin bahagian mengadu tentang “ketiadaan kemajuan dalam persiapan parti bagi menghadapi pilihan raya negeri yang mesti diadakan pada 2021.

“Beliau (Baru) ditugaskan supaya bersiap menghadapi pilihan raya negeri, tetapi terdapat aduan bahawa tiada kemajuan di cawangan-cawangan PKR,” katanya.

(Visited 146 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button