Nasional

Selepas tolak Vellfire, netizen cabar Saddiq terima gaji RM1,500, semua buat sendiri

APA sahaja yang dilakukan oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sering mendapat perhatian termasuk juga kecaman daripada netizen.

Yang terbaru ialah apabila beliau menolak kereta mewah Toyota Vellfire mahupun Mercedez sebaliknya memilih kereta tempatan, Proton.

Ada ramai yang memuji pendirian Syed Saddiq ini, tetapi tidak kurang juga yang mengecam. Malah ada yang mencabar supaya beliau melakukan lebih ekstrem.

Antara cabaran itu ialah meminta Syed Saddir hanya terima gaji RM1,500 sebulan, selain segala-galanya buat sendiri.

Antaranya teks ucapan buat sendiri, pandu kereta sendiri, isi minyak sendiri, bayar tol sendiri dan parking sendiri.

Dalam hantaranya di twitter baru-baru ini, Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda Parti Pribumi  Bersatu Malaysia (Bersatu) itu mengisytiharkan beliau menolak jenama kenderaan tersebut tetapi tetap memilih kereta buatan tempatan.

“Saya tolak Vellfire. Saya tolak Mercedez-Ben. Saya pilih Proton.  Kenderaan rasmi kerajaan,” itu ciap Syed Saddiq.

Ia merujuk kepada laporan mengenai pembelian kereta Mercedez-Benz oleh kerajaan negeri Kelantan bagi kegunaan rasmi.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan, Husam Musa mendakwa kerajaan negeri membeli kereta Mercedes-Benz untuk kegunaan pegawai tingginya sedangkan negeri itu bergelut dengan masalah kewangan.

Pendedahan itu diakui oleh Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah namun katanya, pembelian tersebut adalah atas alasan keselamatan dan dilakukan mengikut keperluan.

Setakat ini jelas beliau, hanya sebuah kereta dibeli untuk kegunaan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Nazran Muhammad.

“Kerajaan negeri akan membeli beberapa lagi kereta jenis Mercedes-Benz untuk Exco yang tidak mempunyai kereta selain kereta sedia ada sudah digunakan lebih 10 tahun,” katanya dalam satu kenyataan.

Kerajaan Pusat sebelum ini turut dilaporkan dalam proses melantik sebuah syarikat bagi membekalkan 32 unit Toyota Vellfire untuk kegunaan menteri dan 3,000 unit Honda Accord membabitkan pegawai kanan kerajaan.

Bagaimanapun selepas maklumat itu terdedah, Kabinet memutuskan untuk mengekalkan Proton Perdana sebagai kenderaan rasmi kerajaan. – SM

(Visited 100 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button