KesihatanLuar NegaraPenyakitUncategorized

Selepas tiga tahun: China buka semula sempadan

CHINA membuka semula sempadannya hari ini selepas tiga tahun sekatan dilaksanakan berikutan pandemik Covid-19.

Untuk rekod, pandemik Covid-19 bermula di daerah Wuhan di China dan dua varian terbaharu juga dikesan di negara republik tersebut.

Pada 26 Disember lalu, Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China mengumumkan, tahap Covid-19 diturunkan daripada Kelas A kepada Kelas B.

Covid-19 telah ditukar daripada “pneumonia novel coronavirus” kepada “novel coronavirus infection,” lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan suruhanjaya kesihatan itu.

Selain itu, China tidak akan mengenakan kuarantin ke atas mereka yang memasuki negara itu dan pesakit Covid-19 selain menarik balik dasar ketat “sifar-Covid-19”.


Bagaimanapun, negara itu menghadapi peningkatan kes Covid-19 sejak beberapa minggu lalu.

Beberapa negara termasuk Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), Itali, Sepanyol, Perancis, Maghribi, Qatar, Kanada, Greece, Malaysia, Finland dan Belanda telah mengumumkan mengenai keperluan keputusan ujian negatif Covid-19 kepada mereka yang tiba dari China.

Sementara itu, semalam Jerman menasihatkan rakyatnya agar tidak melakukan perjalanan yang tidak penting ke China.

Jerman juga mengklasifikasikan negara itu sebagai “kawasan ancaman varian virus” disebabkan gelombang Covid-19 yang sedang melanda di China.

China kelmarin menyatakan, situasi Covid-19 di negara itu terkawal dan banyak negara anggota Kesatuan Eropah (EU) mengalu-alukan pelancong China.

Mengulas mengenai peraturan yang dikenakan sesetengah negara terhadap pelancong yang datang dari China, jurucakap Kementerian Luar, Mao Ning berkata, semua langkah tindak balas terhadap Covid-19 harus berdasarkan sains dan fakta serta setara.

“Seharusnya tidak ada percubaan untuk mempolitikkan isu itu atau mengamalkan amalan diskriminasi yang boleh menjejaskan hubungan antara rakyat,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata, pakar China turut menghadiri taklimat dalam talian Pertubuhan Kesihatan Sedunia untuk memberikan maklumat terkini mengenai pandemik itu. – SM

(Visited 49 times, 1 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button