Pendidikan

Selepas tiga bulan, pelajar tingkatan 5, 6 ke sekolah hari ini

SELEPAS tiga bulan ditutup, pelajar tingkalan lima dan enam di seluruh negara akan memulakan kembali sesi persekolahan di sekolah pagi ini.

Rata-rata pelajar yang ditemui mengakui berasa teruja, dan tidak kurang juga gementar untuk kembali ke sekolah dalam suasana normal baharu.

Di KUCHING, sebanyak 188 buah sekolah menengah di Sarawak akan dibuka semula esok, melibatkan 34,306 pelajar tingkatan lima dan 6,782 pelajar tingkatan enam.

Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak Datuk Seri Michael Manyin memberitahu pemberita hari ini yang beliau berpuas hati dengan persiapan yang telah dibuat untuk memastikan proses pembelajaran bagi pelajar yang terlibat berjalan lancar.

Sementara itu, lebih 100 pelajar akan memulakan sesi persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Long Lama dan SMK Datuk Temenggong Oyong Lawai Jau di Long San di Hulu Baram, antara kawasan luar bandar di negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri Telang Usan, Dennis Ngau berkata sekumpulan guru yang mengajar di kedua-dua sekolah berkenaan telah melalui proses kuarantin sejak dua minggu lepas di Miri dan disahkan negatif jangkitan COVID-19 serta dibenarkan untuk kembali bertugas.

Sementara itu di KOTA KINABALU, beberapa pelajar tingkatan lima dari luar bandar dan pedalaman Sabah sudah bersedia untuk kembali ke sekolah masing-masing esok, antaranya Sherrylyana Pinikit, pelajar SMK Nabawan II yang melakukan persiapan mental dan fizikal selain memastikan kesihatannya berada pada tahap optimum.

“Berikutan sekolah dibuka semula, saya boleh berjumpa terus dengan guru-guru sekiranya saya tidak memahami tentang sesuatu mata pelajaran kerana penerangan melalui pembelajaran dalam talian ada kalanya terganggu berikutan jaringan Internet yang tidak stabil, selain telefon tidak dapat memuat naik banyak dokumen tugasan,” katanya kepada Bernama.

Menurutnya, pihak sekolah juga telah membuat video simulasi mengenai prosedur operasi standard (SOP) normal baharu termasuk amalan jarakan sosial yang telah dimuat naik menerusi platform YouTube sebagai panduan para pelajar.

Bagi pelajar tingkatan lima SMK Gadong di Beaufort, Md Aidil Azim berkata ini adalah masa untuk ulang kaji sekali gus memahami semula mana-mana mata pelajaran yang sukar difahami semasa pembelajaran dalam talian ketika PKP.

Di SEREMBAN, pembukaan semula sesi persekolahan esok melibatkan seramai 20,954 pelajar tingkatan lima dan enam di 124 buah sekolah termasuk sekolah berasrama penuh di seluruh Negeri Sembilan, kata Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Negeri Sembilan Md Fiah Md Jamin.

Di KUALA TERENGGANU, pembukaan semula sesi persekolahan memberikan perasaan bercampur-baur kepada pelajar, dan bagi Ahmad Imran Shahbudin, 17, dia berasa gementar kerana sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan sejak 18 Mac lepas, dia hanya berhubung dengan guru dan rakan-rakan secara dalam talian.

Pelajar tingkatan lima SMK Seri Budiman itu yang turut mengakui berasa bimbang akan keselamatan diri apabila berada di sekolah memandangkan pandemik COVID-19 masih belum berakhir, berkata pelitup separuh muka adalah antara “teman baiknya” ketika ini.

Sementara di MELAKA, pelajar tingkatan enam SMK Dato’ Haji Talib Karim, Alor Gajah di sini, Nurul Balqis A. Malex, 19, berkata dia teruja untuk memulakan kembali sesi persekolahan esok setelah lebih tiga bulan menjalani sesi pembelajaran secara dalam talian di rumah.

“Secara keseluruhan sesi pembelajaran sedikit terganggu kerana belajar di rumah menerusi dalam talian berbeza dengan di sekolah.

“Apapun tak sabar untuk mula sekolah esok (hari ini),” katanya yang tinggal di Taman Seri Pelangi di sini.

Bagi pelajar tingkatan lima SMK Bukit Katil, Bukit Katil di sini, Amirul Danial Hakimi, 18, walaupun pembelajaran dalam talian membantu dalam persediaan menghadapi SPM, sesi persekolahan memberikan kelebihan kerana dapat berinteraksi dengan guru dan rakan secara bersemuka.- BERNAMA

(Visited 578 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button