fbpx
PolitikUncategorized

Selepas Maszlee, Waytha Moorthy bila lagi?

TIDAKLAH mengejutkan sangat bila Dr. Maszlee Malik mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Pendidikan hari ini. Ramai yang telah menjangkakan Ahli Parlimen Simpang Renggam itu tidak akan bertahan lama di Kementerian Pendidikan.

Isu terkini berkaitan kertas soalan peperiksaan Hubungan Etnik  Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang mengaitkan penceramah dari India, Dr Zakir Naik sebagai ikon dunia Islam menyaksikan serangan bertubi-tubi termasuk daripada kepimpinan kerajaan sendiri seperti Lim Kit Siang dan P. Ramasamy terhadap Maszlee.

Sebelum itu Maszlee sudahpun ‘luka parah’ diserang daripada pelbagai NGO berkaitan isu pengenalan tulisan Jawi di sekolah jenis kebangsaan. Maszlee juga ‘ditonyoh’ kerana gagal untuk menyenangkan hati pihak yang mahu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) di Semenanjung Malaysia diktiraf.

Cumanya agak pelik, Maszlee bukanlah satu-satunya menteri di Malaysia ini yang telah didesak untuk meletakkan jawatan kerana gagal melaksanakan tugas di kementerian yang dipertanggungjawabkan.

Masihkah ingat desakan bertubi-tubi agar Menteri di Pejabat Perdana Menteri yang menjaga Perpaduan dan Kesejahteraan Sosial, P Waytha Moorthy untuk melepaskan jawatan beliau sebagai menteri?


Satu petisyen dalam talian juga dibuat untuk mendesak Waytha Moorthy meletakkan jawatan. Petisyen di change.org yang digerakkan oleh Gerakan Penggundi sedar itu sehingga kini telah ditandatangani seramai 315,073 orang!

https://www.change.org/p/tun-dr-mahathir-mohamad-menuntut-perlucutan-jawatan-p-waytha-moorty-sebagai-menteri-di-jabatan-pm-dan-senator-petisyen-ini-digerakkan-oleh-gerakan-pengundi-sedar-gps

Pestisyen itu dibuat susulan penularan video lamanya selaku pemimpin utama pertubuhan Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (HINDRAF) memburuk-burukkan negara di negara luar dengan menyebarkan kenyataan palsu berunsur fitnah.

Desakan juga dibuat kerana Waytha Moorthy didakwa gagal untuk menyelesaikan isu tanah kuil di Seafield dengan menyeluruh atas kapasitinya sebagai Menteri Perpaduan Negara sehingga menyebabkan seorang anggota bomba muda, Mohamad Adib Kasim terkorban semasa bertugas.Sehingga kini pembunuhnya masih bebas.

Waytha Moorthy juga didesak meletakkan jawatan kerana mahu meratifikasikan ICERD (Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum) atas kapasitinya sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri walaupun mendapat tentangan dan bantahan yang kuat daripada masyarakat.

Malah Penasihat media kepada perdana menteri  Datuk A. Kadir Jasin turut menyeru Waytha Moorthy untuk meletakkan jawatan secara sukarela selepas hilang keyakinan rakyat.

“Saya minta maaf untuk menyatakan bahawa Waytha Moorthy telah diberikan peluang dan penghormatan tertinggi untuk menjadi anggota Kabinet tetapi beliau telah mensia-siakannya,” kata beliau menerusi blognya pada Disember 2018.

“Saya bersetuju dengan sentimen rakyat bahawa Waytha Moorthy tidak lagi memiliki kepercayaan rakyat untuk meneruskan jawatan sebagai seorang menteri, lebih-lebih lagi menjadi menteri yang menjaga perpaduan negara.

“Beliau menjadi sebuah karakter yang memecahbelahkan (perpaduan),” kata Kadir pada waktu itu.

Namun Waytha Moorthy  sehingga kini masih seorang menteri. Bila agaknya dia mahu menyerahkan jawatannya kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad seperti yang dilakukan Dr. Maszlee Malik hari ini?-SM

 

 

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button