Hiburan

Tak perlu nak melompat-lompat, zaman sekarang tak perlu – Datuk Hattan

PELANTUN suara Gadis Jolobu, Datuk Hattan atau nama sebenarnya Mohd Shukri Shahabudin bakal tampil dengan konsert berskala besar yang akan berlangsung pada 4 dan 5 Jun 2022 di Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre.

Beliau berkata ini merupakan konsert solo terbesar dalam kerjaya nyanyiannya sejak 1987 dan akan membawa kelainan kepada peminat yang menanti penampilannya.

“Ini bukan sekadar konsert saja, tetapi mengandungi penceritaan. Dari kerjaya itu berkembang, bagaimana lagu ini dicipta dan kenapa lirik itu terjadi. Ia akan saya ceritakan sepanjang konsert itu nanti.

“Saya memiliki puluhan lagu hits dan kebanyakannya akan saya nyanyikan nanti, namun ada juga akan disampaikan secara medley. Tapi untuk lagu yang betul-betul popular sudah pasti saya akan menyanyikan keseluruhannya” katanya pada sidang media, petang, semalam.

Berlangsungnya sidang media Hattan 35 Years Journey

Beliau berkata konsert ini sudah dirancang sejak dua tahun yang lalu, namun terpaksa ditangguhkan kerana penularan Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Februari 2020.

Konsert anjuran Mewah Event Management (MEM) akan diiringi pemuzik hebat dan berpengalaman iaitu Rozario, sebagai pemain keyboard sekali gus bertindak sebagai pengarah muzik.

Bercerita mengenai persiapan konsert, Hattan berkata beliau tidak bimbang kerana kerap melakukan latihan selain menjaga kesihatan.

Aida Husin selaku penganjur

“Sebagai penyanyi latihan atau praktis itu amat penting, kena menyanyi dengan penuh jiwa dan tak boleh lupa lirik.

“Alhamdulillah, selepas pelonggaran prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 hampir setiap minggu saya mendapat tawaran persembahan, itu juga satu latihan yang baik” katanya.

Konsert ini juga akan mengetengahkan segmen mentor khusus buat Datuk M Nasir di mana Hattan akan menyanyikan lagu-lagu popular nyanyian dan ciptaan komposer lagenda itu.

Pengarah muzik, Rozario yang akan mengiringi persembahan Datuk Hattan

Ia berdasarkan album solo kelimanya, Mentor yang diterbitkan pada 1994 di mana Hattan merakam semula lagu-lagu popular nyanyian dan ciptaan M Nasir seperti Kepadamu Kekasih, Sekuntum Mawar Merah, Gerhana, Tiara dan Padang Lalang.

“Album itu adalah idea saya di mana saya rakamkan semula lagu-lagu M Nasir yang saya suka. Beliau banyak memainkan peranan terhadap perkembangan karier saya dari dulu hingga sekarang” jelasnya.

Hattan juga menjelaskan bahawa dia akan memberikan sesuatu yang istimewa buat peminat pada konsert kali ini selepas dua tahun merindukan penampilan beliau.

Katanya, konsert ini juga merupakan hadiah untuk sahabat dan peminat yang menyokong kariernya sejak 35 tahun lalu. – SM

(Visited 602 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button