Nasional

UPSI, IPGM jalin kerjasama perkasa pendidikan Negara

UNIVERSITI pendidikan tersohor, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menjalin kerjasama dengan enam Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) yang terdapat di negara ini bagi memacu kecemerlangan pendidikan.

Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata UPSI membina kerjasama dengan IPGM bagi berkongsi kepakaran yang dimiliki institusi ternama itu bersama institusi yang turut melahirkan guru itu.

Md Amin bersama wakil IPG yang menandatangani Sijil Kerjasama.

Pada majlis menandatangani Sijil Kerjasama (Certificate of Collaboration), IPGM diwakili enam IPG mengikut zon iaitu Intitut Pendidikan Guru Kampus (IPGK) Raja Melewar, Seremban, Negeri Sembilan; IPGK Ipoh, Perak; IPGK Sultan Mizan, Besut, Terengganu; IPGK Tun Hussein Onn, Batu Pahat, Johor; IPGK Tuanku Bainun, Bukit Mertajam serta IPGK Pendidikan Islam, Bangi.

Katanya, majlis menandatangani Sijil Kerjasama itu antara antara lain tertumpu kepada bidang kerjasama bersama UPSI termasuklah kerjasama akademik, penyelidikan dan inovasi, mobiliti pelajar dan staf, perkongsian kepakaran keguruan, perkongsian sumber kajian dan kemudahan, penganjuran program bersama serta pengantarabangsaan.

Md Amin dan pegawai UPSI bersama wakil IPGM yang menghadiri majlis menandatangani kerjasama.

Beliau berkata bagi menjayakan kerjasama berkenaan sebuah jawatankuasa dibentuk antara UPSI dan IPG yang akan bersidang dua kali setahun secara bergilir bagi membincang dan merangka halatuju pendidikan keguruan di Malaysia.

UPSI, katanya, memiliki tenaga pakar yang ramai khususnya dalam bidang pendidikan yang dapat digembleng untuk memacu pembangunan pendidikan negara selaras dengan fokus Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi memastikan kualiti dan kecemerlangan akademik berada pada peringkat tertinggi.

Md Amin berkata, UPSI bersedia untuk bekerjasama dengan IPG bagi meneliti kaedah serta strategi yang terbaik dalam memantapkan pendidikan generasi masa depan.

Presiden Majlis Pengarah IPGM, Lt. Kol. Bersekutu (PA) Dr Mazlan Aris menerima Sijil Kerjasama daripada Md Amin.

Hadir sama Timbalan Naib Canselor ( Penyelidikan dan inovasi), Prof Dr Marzita Puteh;Pengarah Akademik UPSI, Prof Dr Abdul Rahim Razalli serta Dekan Fakulti Pengurusan dan ekonomi, Prof Madya Dr Asri Md Noor.

Menurut beliau lebih banyak kolaborasi yang boleh dilaksanakan di antara kedua-dua pihak berdasarkan kepakaran yang ada yang mampu memberi impak yang baik bukan sahaja pada bidang pendidikan malah sumbangan terhadap masyarakat komuniti setempat.

Sempena sesi kunjungan itu, UPSI dan IPG bersetuju menandatangani COC (Certificate of Collaboration) dengan semua wakil Pengarah IPG bagi memperjelaskan lagi niat usahasama yang bakal dilaksanakan.

Presiden Majlis Pengarah IPGM, Lt. Kol. Bersekutu (PA) Dr Mazlan Aris berkata pihaknya menyambut baik kerjasama yang dapat memberi impak positif kepada kedua-dua institusi utama pendidikan negara. -SM

(Visited 230 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button